Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

2 wanita korban bencana banjir di Kelantan

Nov 26, 2025 | 6:45 PM
banjir, Malaysia, makin, teruk, terkorban
Anggota bomba menyelamatkan seorang mangsa yang terperangkap apabila kereta yang dipandu dihanyutkan arus deras banjir. Kejadian pada 3 pagi 26 November di Kampung Bendang Nyior, Tanah Merah, Kelantan, itu turut mengorbankan seorang wanita warga emas - Foto JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA

Keadaan banjir di beberapa negeri di Malaysia semakin meruncing dengan jumlah mangsa mencecah 26,000 orang setakat 3 petang 26 November.

Sementara itu, dua wanita dilapor menjadi korban banjir di Kelantan pada musim tengkujuh kali ini.

Laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan negeri utara Semenanjung seperti Perak, Kedah dan Perlis selain Kelantan dan Terengganu, merekodkan trend peningkatan jumlah mangsa.

Selangor pula tidak banyak berubah, manakala jumlah mangsa di Pahang dan Sarawak berkurangan.

Berita Harian Malaysia (BHM) melaporkan, seorang wanita warga emas ditemui lemas selepas kereta yang dinaiki bersama anak perempuannya dihanyutkan arus deras ketika banjir melanda Kampung Bendang Nyior di Tanah Merah, Kelantan.

Kejadian sekitar 3 pagi 26 November itu mengorbankan Allahyarhamha Siti Gayah Zakaria, 70 tahun, manakala anaknya, Cik Shamila Suzie Ahmad Basharuddin, 48 tahun, selamat.

Cik Shamila hanya mampu meraung apabila melihat ibunya hanyut dan dalam keadaan masih berpaut pada cermin kereta, beliau menjerit meminta tolong sebelum disedari orang awam yang melalui kawasan itu.

Menurutnya, sebelum kejadian, mereka berdua dalam perjalanan ke Kampung Batu 7 berhampiran untuk menghantar ibunya ke rumah ahli keluarga kerana bimbang kediaman mereka di Kampung Manal 2 ditenggelami banjir.

“Keadaan ketika itu gelap dan hanya bergantung kepada lampu kereta. Rupanya arus yang melimpah atas jalan sangat deras sehingga membuatkan kereta saya berpusing dan terheret.

“Kereta kami tersangkut di pembetung dan dalam keadaan panik saya mengarahkan ibu keluar dan memintanya naik ke atas bonet hadapan kereta.

“Tetapi arus terlalu deras menyebabkan kami berdua hanya berpaut pada cermin kereta selain memegang antara satu sama lain, namun, pegangan tangan kami tiba-tiba terlucut sebelum ibu terus dibawa arus deras,” katanya kepada BHM.

Dalam kejadian lebih awal pada 23 November, media Malaysia melaporkan seorang wanita warga Indonesia ditemukan maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki bersama dua rakan lain yang terselamat, dihanyutkan arus kepala air di Kampung Pulai, Gua Musang.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choo Foo, mengesahkan kejadian.

Dalam perkembangan lain, seramai 310 pelancong Malaysia yang terkandas di Hat Yai, Thailand, menyusuli banjir besar yang melanda wilayah selatan Thailand sejak 21 November lalu, berjaya diselamatkan dan dibawa keluar.

Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela Sungai Petani (Kedah), Encik Leong Beng Tat, berkata pelancong itu diselamatkan menggunakan tiga treler pada pagi 25 November yang membawa mereka ke sempadan untuk pulang ke Malaysia.

BHM turut melaporkan, lebih 500 penduduk dari empat kampung di Kuala Krai, Kelantan, terperangkap selepas jambatan dan laluan utama untuk keluar dari penempatan itu ditenggelami banjir akibat hujan lebat berterusan sejak 12 tengah malam 26 November.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Mukim Kuala Pertang, Encik Adnan Mat Yassin, berkata hujan bermula 5 petang 25 November, menjadi semakin lebat menjelang tengah malam menyebabkan paras air sungai naik mendadak di kampung berkenaan.

Di Jitra, Kedah, seorang ibu, Cik Normah Mat Isa, 63 tahun, terpaksa melupakan persiapan perkahwinan dua anaknya yang dirancang pada 27 Disember.

Rumah mereka dilanda banjir, dan mereka terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) demi keselamatan keluarga.

“Mak cik harap banjir cepat surut sebab susah hati memikirkan enam ekor lembu persiapan untuk kenduri nanti yang ditambat di belakang rumah kini dipenuhi air,” lapor BHM.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg