JOHOR BAHRU: Sambutan Aidilfitri tahun ini paling syahdu dan pilu bagi mangsa banjir di Johor apabila mengenang kesan kerosakan dialami masing-masing, selain timbunan kelengkapan rumah yang rosak dan dipenuhi lumpur.
Meskipun banjir surut secara berperingkat sejak 22 Mac, kerja pembersihan belum selesai sehingga kini dengan penduduk tidak menolak kemungkinan ia akan berlarutan sehingga Syawal.
Di Kampung Seri Jaya, Taman Perling, Johor Bahru, dan beberapa kampung lain, sampah dan sisa kerosakan akibat banjir dikumpulkan penduduk di tepi jalan untuk memudahkan kutipan dilakukan dengan bantuan pihak berkuasa tempatan.
Seorang penduduk, Cik Rubiah surat, 74 tahun, menyifatkan banjir baru-baru ini adalah yang paling buruk sejak menetap di kawasan itu 50 tahun lalu sehinggakan beliau sendiri tidak mampu lagi bersedih melihat keadaan rumah, pakaian, dan pelbagai barangan elektrik yang semuanya dipenuhi lumpur.
“Tiada satu pun pakaian kering untuk kami, semuanya basah terkena banjir. Baju raya lengkap yang anak belikan untuk mak cik dan pak cik juga basah dan berbau busuk.
“Makcik keluar rumah ketika banjir pada 20 Mac lalu sehelai sepinggang. Beg dijunjung hanya ada dokumen,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Ditanya mengenai kerosakan, Cik Rubiah berkata kediaman serta barangan termasuk makanan seperti beras dan ayam yang dibelanjakan sehari sebelum banjir melanda rosak dan busuk.
Bukan itu saja, katanya kuih raya yang dibeli juga digenangi air dan rosak semuanya.
“Sedih lihat makanan rosak, bawang, pinggan mangkuk plastik habis berbau busuk, terpaksa buang...kalau gunakan semua bimbang jadi penyakit.
“Raya kali ini tetap raya, tetapi memang tiada apa-apa. Ziarah kubur dan duduk di rumah saja. Juadah raya pun belum fikir macam mana nak masak sebab dapur dan tong beras pun hanyut.
“Tangan dan kaki tak tahu nak gambarkan sakit dan lenguh macam mana sebab berkemas tak berhenti.
“Anak-anak datang hujung minggu lalu, kerja berat basuh rumah semua mereka buat, mak cik nak selesaikan membasuh kain baju yang masih elok dan jemur. Hendak hantar dobi semua penuh, sampai sebelum sahur pun ada orang cuci baju,” katanya.
Nasib sama menimpa suri rumah, Cik Jamaliah Yusuf, 45 tahun, yang menanggung kerugian apabila biskut raya dijual secara tempahan hanyut dan rosak semuanya, manakala permaidani dan pakaian raya yang dibeli basah dan berbau busuk.
“Sehari sebelum banjir, nasib baik dapat hantar sebahagian besar kuih tempahan pelanggan. Ada sebahagian lagi rosak dan dibuang.
“Baju raya memang sediakan awal untuk sekeluarga, tetapi semuanya sudah basah. Apa yang boleh guna, kita guna semula. Raya ala kadar saja, tahun ini penuh dugaan buat kami,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg