Banjir kilat telah menyebabkan beberapa jalan raya, termasuk lebuh raya di Lembah Klang, di Selangor, ditutup kepada lalu lintas sejak awal pagi 4 November, sekali gus menyebabkan ribuan pengguna jalan raya terkandas dalam kesesakan trafik, terutama mereka yang dalam perjalanan ke tempat kerja.

Antara kawasan terjejas ialah Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE); Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite); Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) serta beberapa jalan berhampiran Seksyen 13 dan Bukit Jelutong di Shah Alam, Selangor.

Banjir kilat turut menyebabkan ratusan rumah dinaiki air, terutama beberapa kawasan di Selangor di sekitar Kampung Melayu Subang, di Shah Alam, dan Kampung Paya Jaras Hilir di Sungai Buloh, sejak 2 November.

Terdahulu, syarikat pengendali lebuh raya, Plus Malaysia Berhad (Plus), menerusi hebahan pada 4.07 pagi, 4 November, memaklumkan kejadian banjir kilat di Kilometer 9.1 di NKVE, di antara Shah Alam dengan Subang, hingga menyebabkan semua lorong di kedua-dua arah terhalang.

Trafik dari Bukit Raja menghala ke utara dilencongkan ke Setia Alam, manakala kenderaan dari Subang menghala ke selatan dilencongkan ke Lebuhraya Elite.

Pada 3.20 pagi 4 November, Plus turut mengumumkan penutupan semua lorong menuju ke Plaza Tol Shah Alam.

Plus turut melaporkan penutupan semua lorong di Persimpangan Shah Alam, Elite, di antara laluan Seafield dengan Setia Alam pada 5.30 pagi.

Menurut hebahan itu, trafik dari Seafield menghala ke Shah Alam dilencongkan sementara ke Plaza Tol Shah Alam.

Perkongsian di media sosial menunjukkan ramai pengguna jalan raya terkandas lebih sejam akibat penutupan laluan-laluan berkenaan.

Di Sungai Buloh, Selangor, lebih 1,000 penduduk terjejas selepas struktur jambatan di Jalan Gajah Utama, Kubu Gajah, runtuh hingga menyebabkan laluan utama yang menghubungkan Kampung Kubu Gajah ke Paya Jaras Hilir terputus sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, yang mengadakan lawatan ke kawasan berkenaan, dilaporkan berkata struktur jambatan lama yang sempit yang menjadi perangkap aliran air atau bottleneck, yang dikenal pasti menyebabkan runtuhan itu.

Menurut beliau, projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di jajaran Sungai Subang yang telah siap dan melebarkan saiz sungai berkenaan kepada 40 meter, telah menyebabkan jambatan itu tidak mampu menampung limpahan air.

Dalam pada itu Berita Harian Malaysia (BHM) pada 4 November melaporkan, penduduk di Kampung Melayu Subang sekali lagi dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat sejak tengah malam 3 November.

Bencana itu melanda kawasan terbabit dua hari berturut-turut selepas insiden sama pada petang sebelumnya.

Di Kampung Paya Jaras Hilir, tiga beradik berdepan detik cemas dan segera mendapatkan bantuan bomba untuk memindahkan ibu mereka yang terlantar akibat angin ahmar, ke tempat selamat, selepas kediaman mereka dinaiki banjir mendadak ke paras pinggang.

Cik Nur Nazihah Asyiqin Mohd Said, 27 tahun, berkata mereka tidak menyangka air akan naik dengan begitu pantas, dan terpaksa meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membawa ibu mereka yang berusia 60 tahun, keluar dari rumah.