Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Banjir kilat di Selangor: Lebih 1,000 mangsa dipindah, rumah rosak akibat tanah runtuh

Apr 11, 2025 | 4:48 PM
Hujan lebat berterusan sejak 10 April malam menyebabkan beberapa daerah di Selangor dilanda banjir kilat dan memaksa penduduk berpindah selepas kediaman dinaiki air.
Hujan lebat berterusan sejak 10 April malam menyebabkan beberapa daerah di Selangor dilanda banjir kilat dan memaksa penduduk berpindah selepas kediaman dinaiki air. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Banjir kilat yang melanda lima daerah di Selangor sejak tengah malam 11 April menyebabkan lebih 1,000 keluarga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Lima daerah yang terlibat banjir ialah Petaling, Klang, Sepang, Hulu Langat dan Gombak, bagaimanapun mangsa yang berpindah ke PPS setakat 4 petang 11 April, hanya melibatkan kawasan Shah Alam dan Klang.

Banjir turut memburukkan keadaan penduduk di Kampung Kuala Sungai Baru dan Kampung Tengah, dekat Puchong dalam daerah Petaling, yang diibaratkan sudah jatuh ditimpa tangga selepas baru mengalami episod genting kejadian letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, pada Syawal kedua, 1 April lalu.

Hujan lebat berterusan menyebabkan air sungai melimpah dan memaksa penduduk di kededua kampung berkenaan berpindah semula ke PPS Masjid Putra Heights.

Seorang penduduk, Mohd Kamalzaman Pauzi, 39 tahun, berkata air sungai Kampung Kuala Sungai Baru yang jaraknya kurang 100 meter dari kediamannya, mula memasuki rumah pada 6 pagi lalu memaksa beliau membawa isteri serta tiga anak mereka berpindah ke PPS seperti diarahkan pihak berkuasa.

“Dalam tempoh seminggu sudah dua kali saya berpindah ke sini (PPS). Belum sempat menarik nafas lega setelah berdepan kejadian letupan saluran gas, kini ditimpa bencana banjir pula,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Mengikut perkongsian secara langsung pengguna TikTok Qal Luniey, air mula naik di kawasan kediamannya di Kampung Tengah Puchong, sejak malam 10 April, akibat hujan lebat.

“Memang masa kebakaran saluran gas, rumah saya pun terjejas, bumbung semua habis bocor.

“Tetapi masa kebakaran hari itu, saya tidak berada di rumah, saya berada di kampung, hanya rumah terjejas. Kini terpaksa hadap banjir pula,” katanya.

Dalam pada itu sebuah rumah mengalami kerosakan susulan insiden tanah runtuh di Kampung Orang Asli, Batu 12 Gombak, Selangor, pada awal pagi 11 April.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Encik Wan Md Razali Wan Ismail, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 5.05 pagi.

“Kejadian tanah runtuh itu telah menghempap dinding sebuah rumah kediaman berkeluasan 40 x 40 kaki persegi. Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg