Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor diramal banjir lagi 17 hingga 19 Jan

Jan 14, 2025 | 5:05 PM
Antara kediaman di Johor yang ditenggelami banjir sejak 11 Januari lalu.
Antara kediaman di Johor yang ditenggelami banjir sejak 11 Januari lalu. - Foto FACEBOOK JOHOR POST

Belum pun pulih daripada keadaan banjir yang melanda sejak 10 Januari, Johor sekali lagi diramal menerima episod hujan berterusan tahap waspada bermula 16 hingga 19 Januari, yang mungkin menyebabkan banjir.

Selain Johor, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan pada 14 Januari petang turut mengeluarkan amaran sama di Sabah dan Sarawak.

Justeru itu, penduduk di Johor, Sabah dan Sarawak sekali lagi diingatkan untuk sentiasa peka dan berwaspada dengan aspek keselamatan dan sebarang kemungkinan berlaku banjir dalam tempoh itu.

Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara dalam kenyataan pada 14 Januari memaklumkan antara daerah yang dijangka terjejas banjir di Johor bermula 17 Januari ialah Kluang; Mersing; Kulai; Johor Bahru, Kota Tinggi dan Pontian.

Dalam pada itu situasi banjir di Johor yang awalnya menunjukkan trend menurun pada 13 Januari, meningkat sedikit setakat 4 petang 14 Januari dengan pertambahan jumlah mangsa.

Ketika angka mangsa banjir terjejas di empat negeri lain iaitu Sabah, Pahang, Terengganu dan Kedah semakin berkurangan, Johor pula masih mencatatkan jumlah mangsa lebih 2,000 orang.

Jumlah itu adalah paling tinggi berbanding jumlah keseluruhan mangsa di lima tujuh negeri terlibat banjir seramai lebih 3,000 orang.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebanyak 22 pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor masih aktif di daerah Kota Tinggi, Pontian, Kluang dan Johor Bahru.

Pahang, Perak dan Sarawak pula menjadi dua negeri terbaru dilanda banjir pada 14 Januari dengan jumlah mangsa lebih 200 orang.

Di Terengganu, kesan banjir telah menyebabkan seorang warga emas, Encik Manan Ali, 70 tahun, sebak melihat kedai yang dibina lebih 40 tahun lalu dan menjadi sumber rezeki keluarganya runtuh dibadai ombak kuat pada 13 Januari malam.

Menurut laporan Berita Harian Malaysia, Encik Manan berkata beliau dan anak lelakinya, tidak berdaya untuk mempertahankan kedai makan dan perusahaan hasil laut di Kampung Pengkalan Maras, Kuala Nerus, yang sudah mula dihakis ombak sejak banjir akhir November 2024 lalu, sebelum ranap sepenuhnya pada 13 Januari.

“Tidak sangka hakisan berlaku sangat cepat dan kini merebak ke sini (Kampung Tanjung, Batu Rakit) dalam tempoh hanya beberapa minggu saja. Kini semuanya (kedai) sudah tinggal kenangan. Saya akan ingat peristiwa ini sampai bila-bila,” katanya sayu. - HANNEEYZAH BAHARIN

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg