KUALA LUMPUR: Jumlah keseluruhan kerugian di Malaysia akibat banjir pada 2024 dianggarkan RM933.4 juta ($280.2 juta), meningkat daripada RM755.4 juta pada 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Jumlah itu bersamaan 0.05 peratus Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP), berbanding 0.04 peratus pada 2023.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata kerugian terbesar dicatatkan dalam sektor kediaman, yang meningkat kepada RM372.2 juta berbanding RM168.3 juta pada 2023.
Ia diikuti oleh aset awam dan infrastruktur, iaitu sebanyak RM303.4 juta berbanding RM380.7 juta pada 2023.
“Kerugian dalam sektor pertanian turut meningkat, kepada RM185.2 juta berbanding RM120.6 juta pada 2023, manakala premis perniagaan mencatatkan kerugian sebanyak RM54.1 juta berbanding RM53.2 juta pada 2023.
“Bagi kerosakan kenderaan, ia mencatatkan kerugian sebanyak RM17.3 juta berbanding RM22.3 juta pada 2023, manakala sektor perkilangan merekodkan kerugian paling kecil, iaitu RM1.2 juta berbanding RM10.3 juta pada 2023,” kata Datuk Dr Mohd Uzir dalam satu kenyataan pada 19 Mac, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata dari segi tempat kediaman, Kelantan mencatatkan kerugian terbesar, iaitu sebanyak RM139 juta, diikuti oleh Terengganu dengan RM103.1 juta dan Kedah sebanyak RM54 juta.
“Di Kelantan, daerah paling terjejas ialah Pasir Mas, dengan kerugian berjumlah RM46.2 juta, diikuti Tumpat (RM31.7 juta) dan Kota Bharu (RM19.2 juta), manakala di Terengganu, Besut merekodkan kerugian tertinggi bagi tempat kediaman, berjumlah RM38.4 juta, diikuti Setiu (RM16.1 juta) dan Kemaman (RM14.2 juta).
“Di Kedah, Kota Setar dan Kubang Pasu mencatatkan kerugian tertinggi, masing-masing berjumlah RM22 juta dan RM9.4 juta, diikuti Baling dengan RM6.9 juta,” katanya.
Menurut Datuk Dr Mohd Uzir, Kelantan menanggung kerugian premis perniagaan terbesar, sebanyak RM27.1 juta, diikuti oleh Terengganu sebanyak RM16.4 juta dan Kedah sebanyak RM4.3 juta.
Dari segi kerosakan kenderaan, Terengganu mencatatkan kerugian tertinggi berjumlah RM5.8 juta, diikuti oleh Kelantan sebanyak RM4 juta dan Kedah sebanyak RM2.1 juta.
Daerah paling terjejas di Terengganu ialah Besut (RM1.4 juta), diikuti oleh Kemaman (RM1 juta) dan Dungun (RM800,000).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg