KUALA LUMPUR: Umat Islam di sebahagian kawasan dekat Sabah dan Sarawak terpaksa menyambut Ramadan dalam banjir, dengan sehingga tengah hari 10 Mac lebih 5,000 mangsa di dua negeri itu berada di pusat pemindahan sementara (PPS) sejak 8 Mac.
Jumlah itu meningkat berbanding lebih 3,500 orang yang direkodkan berpindah ke PPS pada 9 Mac.
Daripada lebih 4,500 mangsa di enam daerah yang terjejas banjir di Sabah dengan 27 PPS dibuka setakat 1 tengah hari 10 Mac, daerah Beaufort paling teruk terkesan dan setakat ini telah memindahkan lebih 1,600 mangsa.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ia diikuti lebih 1,100 mangsa di daerah Tenom, dan bakinya di daerah Membakut, Sook, Keningau dan Kemabong.
Banjir akibat hujan lebat berterusan itu juga menyebabkan laluan menghubungkan puluhan kampung di semua daerah terjejas dan tidak dapat dilalui, selain turut memutuskan akses perhubungan antara daerah di Sabah.
Berita Harian Malaysia sebelum itu melaporkan sebanyak 24 sekolah di daerah Beaufort dan Membakut yang ditenggelami banjir turut ditutup pada 9 Mac.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Datuk Raisin Saidin, berkata sekolah yang tidak dapat beroperasi akibat banjir diberi kebenaran untuk menggantikan hari yang tertinggal pada mana-mana Sabtu, selepas keadaan banjir pulih.
“Jika ada sekolah yang masih dilanda banjir atau laluan ke sekolah dinaiki air, maka sekolah disarankan supaya mengadakan kelas pada hari Sabtu mengikut jumlah hari sekolah ditutup akibat banjir,” katanya.
Di Sarawak pula, lebih 470 mangsa dipindahkan ke satu PPS di daerah Limbang.
Beberapa jalan di daerah Beaufort, Tenom, dan Keningau terputus hubungan sejak 9 Mac akibat banjir serta cerun runtuh, berikutan hujan lebat berterusan yang melanda kawasan tersebut sejak beberapa hari lalu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg