Sambutan perayaan Tahun Baru Cina di Sabah dan Sarawak suram berikutan banjir buruk melanda dua negeri itu sejak 29 Januari lalu, dengan jumlah mangsa dicatatkan pada 31 Januari melonjak sehingga lebih 17,000 orang.
Dalam laporan kemas kini Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) pada 12 tengah hari 31 Januari, lebih 11,000 mangsa terjejas banjir di Sarawak dan dipindahkan dengan bantuan pasukan keselamatan dan penyelamat ke 59 pusat pemindahan sementara (PPS) di 16 daerah.
Sabah pula memindahkan lebih 5,000 penduduk di 10 daerah terlibat banjir ke 36 PPS.
Pasukan penyelamat yang membantu proses memindahkan mangsa banjir terjejas di Sabah dan Sarawak berdepan cabaran besar iaitu ancaman buaya, berikutan dua negeri berkenaan terkenal dengan bilangan reptilia itu yang tinggi.
Di Sabah, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Encik Sumsoa Rashid, berkata pihaknya mengambil langkah berwaspada dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah dalam mengendalikan keadaan berkenaan.
“Walaupun pasukan penyelamat menemukan kelibat buaya di kawasan terlibat banjir, ia tidak mematahkan semangat anggota untuk menghulurkan bantuan dan memindahkan mangsa banjir ke tempat lebih selamat,” katanya, menurut laporan Free Malaysia Today.
Di Sarawak, Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, dilaporkan berkata banjir di negeri itu menyebabkan empat seksyen di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo Sarawak terjejas iaitu di kawasan Serian, Selangau, Bakun dan Pujut.
Dengan keadaan banjir yang menjejas banyak mangsa, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan pihak berkaitan termasuk Nadma memperkukuh jentera dan penyelarasan.
“Keutamaan ketika ini adalah kebajikan mangsa banjir serta keselamatan penduduk di kawasan terkesan. Skuad Ihsan Madani akan turun membantu mangsa banjir di PPS serta bersiap siaga bagi penugasan pascabanjir,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada 30 Januari.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan beberapa lagi ledakan monsun yang berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku di Sabah dan Sarawak.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, dalam satu kenyataan pada 31 Januari berkata analisis terhadap ramalan model cuaca terkini menunjukkan ledakan monsun dijangka berterusan sehingga 1 Februari dan berpotensi menyebabkan hujan lebat dan berterusan di Sarawak.
Beberapa daerah di Sabah pula diramal mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga 31 Januari malam.
Malaysia masih dalam fasa Monsun Timur Laut (MTL) yang sudah bermula sejak 5 November lalu dan dijangka berakhir pada Mac ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg