PUTRAJAYA: Banjir buruk di Sabah dan Sarawak, yang menjejas lebih 17,000 mangsa sejak 29 Januari, mencetuskan lebih 800 kes kesihatan yang dikesan melalui pemeriksaan terhadap lebih 9,000 mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS).
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata 671 kes jangkitan saluran pernafasan akut; 82 kes jangkitan kulit; 37 kes gastroenteritis akut (radang usus); 17 kes konjunktivitis (jangkitan mata); serta satu kes penyakit tangan, kaki dan mulut dikesan.
Menurut KKM, 22 daripada 30 kemudahan kesihatan di Sarawak dan 27 di Sabah yang terjejas akibat banjir telah beroperasi semula, lapor Astro Awani.
Jabatan Kesihatan Sarawak telah menggerakkan 37 pasukan perubatan dan 30 pasukan kesihatan, manakala Jabatan Kesihatan Sabah menggerakkan 16 pasukan perubatan dan 27 pasukan kesihatan ke semua PPS terlibat.
KKM memaklumkan tiga pasukan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial terdiri daripada pakar perubatan keluarga, pegawai perubatan, pegawai psikologi, anggota paramedik serta anggota kesihatan daripada pelbagai kategori turut digerakkan ke semua PPS.
Setakat 1 tengah hari 4 Februari, portal Info Bencana Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan lebih 10,000 mangsa daripada lebih 3,000 keluarga masih berada di 44 PPS di enam daerah dekat Sarawak, manakala semua mangsa banjir di Sabah sudah pulang ke rumah masing-masing.
Seorang mangsa banjir di Bintulu, Sarawak, Encik Hazzaid Abdul Muin, 36 tahun, berkata tarikh 29 Januari tidak dapat dilupakan beliau apabila air dengan cepat memasuki rumahnya di Taman Sebiew Indah, Bintulu.
Jurutera itu menyifatkan keadaan tersebut sama seperti adegan filem apabila beliau berdepan detik cemas untuk menyelamatkan keluarganya sebelum air memenuhi ruang rumah.
“Kami memang terkejut semasa air mula naik pada sekitar 6 pagi dan kami fikir ia akan surut, sebaliknya hujan berterusan.
“Selepas itu, sekitar 11 pagi, bot bantuan datang untuk memindahkan semua orang,” katanya, yang kerugian lebih RM30,000 ($9,147) akibat kemusnahan harta benda akibat banjir itu.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan pada 4 Februari meramalkan ledakan monsun yang sedang berlaku berterusan hingga 9 Februari.
“Keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan lebat dan berterusan di Sabah dan Sarawak. Sehubungan itu, MetMalaysia mengemas kini amaran hujan berterusan tahap buruk dan waspada melibatkan Sabah dan Sarawak berkuat kuasa hingga 5 Februari,” kata MetMalaysia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg