Topik diikuti
Pergi ke BHkuMangsa banjir menang saman, kerajaan Selangor teliti proses rayuan
Mangsa banjir menang saman, kerajaan Selangor teliti proses rayuan
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan mendapatkan maklumat serta pandangan daripada Penasihat Undang-Undang Negeri berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor, yang memutuskan 50 penduduk Taman Sri Muda berjaya dalam saman berkaitan banjir besar pada Disember 2021.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pandangan berkenaan penting bagi menentukan tindakan selanjutnya, termasuk keperluan untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan.
“Saya akan dapatkan makluman daripada pihak Pegawai Penasihat Undang-Undang Negeri untuk melihat proses-proses seterusnya. Sama ada proses rayuan harus dilakukan ataupun tidak, kerana ia baharu keputusan di Mahkamah Tinggi.
“Masih ada ruang untuk rayuan dibuat untuk memberikan justifikasi-justifikasi tertentu,” katanya kepada media selepas melancarkan Pelan Strategik Jalan dan Lebuh Raya Selangor 2026-2035 (Jalur Selangor), di Shah Alam, Selangor, pada 30 September, lapor Malaysiakini.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 29 September memutuskan beberapa pihak berkuasa, termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor serta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), bertanggungjawab secara bersama dengan Kerajaan Persekutuan berhubung kecuaian dan kegagalan berkaitan insiden banjir berkenaan.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, YA Puan Shoba Rajah Dorai Rajah, mendapati semua defendan bertanggungjawab sepenuhnya atas kecuaian dan kegagalan yang menyumbang kepada kerugian dialami penduduk.
Penduduk yang menyaman kerajaan dan tujuh pihak lain mendakwa kegagalan dalam pengurusan banjir, sistem perparitan, amaran cuaca serta tindak balas bencana menyumbang kepada kerugian mereka.
Mereka menuntut ganti rugi khas berjumlah lebih RM3.76 juta, selain ganti rugi am dan ganti rugi teruk.
Sementara itu, mengulas mengenai status projek tebatan banjir Sungai Klang di Seksyen 25, Shah Alam, Datuk Amirudin berkata usaha berkenaan berjalan dengan baik, selain keadaan di Taman Sri Muda kini jauh lebih terkawal berbanding ketika banjir besar pada 2021.
Beliau berkata kerja-kerja mendalamkan sungai yang dilaksanakan dengan pantas di kawasan berkenaan meningkatkan kapasiti Sungai Klang sebanyak kira-kira 20 peratus.
“Alhamdulillah kita juga melengkapkan pengurusan pam. Ada satu hari ataupun satu waktu, pam itu tidak berfungsi, tetapi sekarang berfungsi sepenuhnya.
“(Kini) penggunaan pintu air dan pam yang bergerak dengan baik juga berjaya menghindari banjir di kawasan tersebut,” katanya.
Sementara itu mengulas mengenai Jalur Selangor, Datuk Amirudin berkata ia dirangka secara holistik untuk menjadi kompas fizikal yang menjajarkan dasar utama Rancangan Selangor Kedua (RS-2).
“Kerajaan negeri kini beralih kepada prinsip ‘tiada daerah yang akan terpinggir’ dan bagi merealisasikan misi ini, Jalur Selangor bertindak sebagai pemboleh daya fizikal (physical enabler) dan tulang belakang mobiliti.
“RS-2 menyasarkan untuk merapatkan jurang sosioekonomi antara daerah bandar dan luar bandar melalui projek zon pembangunan khusus.
“Jalur Selangor menyokong usaha ini menerusi perancangan rangkaian jalan mengikut zon iaitu Zon Sabda (Sabak Bernam); Zon Idriss dan Pelabuhan (Kuala Langat dan Klang) dan Zon Aeropolis (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Subang,” katanya.