Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Banjir: Sungai di Kelantan ‘mengepung’, penduduk selamatkan harta

Dec 31, 2024 | 11:15 AM
Keadaan Sungai Golok di Rantau Panjang, Kelantan, yang meninggi walaupun cuaca cerah tanpa hujan menyebabkan penduduk bimbang risiko banjir.
Keadaan Sungai Golok di Rantau Panjang, Kelantan, yang meninggi walaupun cuaca cerah tanpa hujan menyebabkan penduduk bimbang risiko banjir. - Foto NSTP

PASIR MAS (Kelantan): Walaupun langit cerah tanpa hujan, limpahan air Sungai Golok yang ‘mengepung’ beberapa kampung di Rantau Panjang, Kelantan, memaksa penduduk bersiap siaga menghadapi ancaman banjir.

Penduduk kini bagaikan berlumba dengan masa, berusaha menyelamatkan apa saja yang mampu sebelum arus banjir menelan segalanya.

Tinjauan di Kampung Tersang, Kampung Lubok Gong, Kampung Lanchang dan Kampung Tok Deh, di Rantau Panjang mendapati penduduk giat memindahkan kenderaan serta haiwan ternakan ke kawasan tinggi sebelum air terus naik.

Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Kampung Tersang, Siti Khadijah Osman, 17 tahun, berkata dia mengemas semua dokumen penting miliknya untuk menduduki peperiksaan itu termasuk buku nota dan pakaian sekolah.

“Air mula memasuki pekarangan rumah kira-kira 9.30 pagi 30 Disember, saya bersama enam adik mengemas barang-barang yang ringan dulu sementara menunggu ayah dan ibu balik kerja pada sebelah petang,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Siti Khadijah berkata kerja mengemas akan diteruskan termasuk memindahkan peralatan elektrik seperti mesin basuh dan peti sejuk ke atas rakit yang diperbuat daripada tong air di tepi rumah.

“Jika paras air semakin meningkat saya terpaksa menumpang di asrama sekolah untuk menduduki SPM,” katanya.

Cik Melah Saifuddin, 90 tahun, dari Kampung Lubok Gong pula berkata anaknya telah beberapa kali membaiki titi di hadapan rumahnya sebagai persiapan menghadapi banjir.

Warga emas itu berkata titi sepanjang 50 meter yang menghubungkan ke jalan utama itu memudahkan mereka untuk melakukan rutin harian tanpa perlu mengharungi banjir yang biasanya sedalam lebih satu meter.

Sementara itu, portal infobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan paras air Sungai Golok dicatatkan melebihi paras bahaya iaitu 10.28 meter (bahaya 9.0 meter).

Dalam pada itu, situasi banjir di Johor menyaksikan sedikit peningkatan jumlah mangsa terjejas kepada 52 orang di Kota Tinggi pada pagi 31 Disember. Jumlah itu bertambah berbanding 26 orang terjejas pada 30 Disember.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir membabitkan daerah Tanah Merah menyusut kepada 476 orang.

Terengganu pula pulih sepenuhnya pada 31 Disember selepas semua mangsa yang berteduh di pusat pemindahan sementara (PPS) dibenarkan pulang sejak 30 Disember malam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg