Bantuan Kasih Johor (BKJ) bukan alat politik seperti didakwa pihak tertentu, sebaliknya satu inisiatif kebajikan kerajaan negeri yang sudah dilaksanakan sejak 2023 bagi membantu rakyat berdepan kos sara hidup, kata Setiausaha Pergerakan Pemuda Umno, Encik Mohd Hafiz Ariffin.

Beliau berkata pelaksanaan BKJ sudah memasuki siri keempat dan ia bukan program baru yang diwujudkan sempena pilihan raya negeri (PRN) seperti yang didakwa.

Menurut beliau, sepanjang BKJ dilaksanakan sebelum ini, wakil rakyat daripada Pakatan Harapan (PH) termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (Amanah) turut bersama menjayakan program pengagihan bantuan berkenaan.

“BKJ ini dibuat sejak 2023 lagi dan sudah beberapa siri dilaksanakan. Jadi kenapa sekarang baru dipersoalkan?

“Dulu ada juga wakil rakyat PH yang bantu promosikan program ini, masuk video dan bersama mengagihkan bantuan. Tetapi sekarang ia mula dipolemikkan kerana situasi politik semasa,” katanya.

Encik Mohd Hafiz yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Sembrong berkata sebagai kerajaan, menjadi tanggungjawab mereka untuk menyampaikan bantuan dan menjaga kebajikan rakyat.

Jelasnya, kaedah pengagihan secara bersemuka dipilih kerana jumlah bantuan BKJ tidak terlalu besar seperti bantuan di peringkat Persekutuan, sekali gus membolehkan kerajaan negeri melaksanakannya mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kerajaan Persekutuan ada Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dengan jumlah penerima yang jauh lebih besar, sebab itu dibuat secara pengkreditan terus.

“Tetapi di Johor, kita ada kelebihan untuk pecahkan bantuan mengikut kelompok sasaran dan laksanakan di peringkat DUN,” katanya.

Beliau berkata pendekatan bersemuka bukan sekadar untuk menyampaikan bantuan, tetapi memberi peluang kepada rakyat bertemu wakil rakyat dan menyampaikan terus masalah serta keperluan mereka.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Johor, Encik Anuar Abd Manap, berkata kerajaan negeri masih dalam proses menyelaras pangkalan data penerima sebelum sistem pembayaran secara dalam talian dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Beliau berkata kerajaan negeri mahu memastikan data penerima benar-benar tepat sebelum menggunakan kaedah pemindahan terus ke akaun bank.

Menurut beliau, pengagihan secara bersemuka turut memberi peluang kepada rakyat bertemu terus dengan wakil pejabat daerah, ketua kampung dan agensi kerajaan berkaitan.

“Kadang-kadang rakyat ada masalah lain yang mereka mahu sampaikan secara terus kepada pemimpin setempat dan agensi kerajaan. Jadi program seperti ini membuka ruang untuk mereka berjumpa secara langsung,” katanya.

Encik Anuar turut menegaskan BKJ tidak seharusnya dijadikan modal politik kerana bantuan itu disalurkan menerusi agensi kerajaan dan bukannya dibawa sendiri oleh wakil rakyat.

Jelasnya, kerajaan negeri juga mempunyai pengalaman luas mengurus bantuan tunai ketika bencana seperti banjir dan tidak pernah berlaku isu kehilangan wang ketika proses pengagihan dilakukan.

Terdahulu, Ketua Pemuda Amanah Johor, Encik Taqiuddin Cheman, mempersoalkan kaedah pengagihan BKJ secara tunai yang menurutnya menyusahkan warga emas dan menimbulkan isu keselamatan kerana melibatkan wang tunai dalam jumlah besar.

Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali, pula berpandangan BKJ perlu ditambah baik dengan penggunaan sistem perbankan dan pengkreditan terus supaya lebih cepat, selamat dan mesra rakyat.