KUALA TERENGGANU: Seorang bapa dan anak perempuannya dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu secara berasingan atas tuduhan berkhalwat dan persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah bersama pasangan masing-masing.
Mat Husin Sulaiman, 53 tahun, dan pasangannya, Aslina Razali, 37 tahun, didakwa melakukan perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah.
Anaknya, Nurul Hadhari Mat Husin, 20 tahun, dan pasangannya, Che Mohammad Aidil Hakim Rozali, juga 20 tahun, didakwa berkhalwat.
Nurul Hadhari dan Che Mohammad Aidil, yang masih menuntut di institut pengajian tinggi swasta, terlepas hukuman sebat atas kesalahan khalwat berulang.
Di Terengganu, kesalahan khalwat kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman sebat hingga enam kali, denda hingga RM5,000 ($1,513) atau tiga tahun penjara.
Hukuman itu berkuat kuasa mulai 1 Januari.
Mengikut tuduhan, mereka melakukan khalwat di sebuah pangsapuri di Kuala Terengganu pada 18 Mac, pada 4.15 pagi, lapor Harian Metro.
Hakim Hamidi Syafie menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau empat bulan penjara jika gagal menjelaskan denda terhadap Nur Hadhari, manakala pasangannya didenda RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda.
Sebelum ini, pasangan itu masing-masing didenda RM2,000 dan RM1,900 atau dua bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan.
Hukuman itu diputuskan selepas mereka mengaku bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu pada 21 Oktober.
Nur Hadhari dan Che Mohammad Aidil berkahwin pada Julai lalu.
Sementara itu, di mahkamah berasingan, Mat Husin dan Aslina didenda RM4,500 setiap seorang selepas mengaku salah atas tuduhan persediaan melakukan persetubuhan luar nikah.
Hakim Syarie Mohd Nazri Yusof turut mengarahkan Mat Husin, seorang tukang urut, dan Aslina dipenjara setahun sekiranya gagal membayar denda.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg