KUALA LUMPUR: Seorang bapa dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas kesalahan menganiaya dua anak kandungnya dengan menyuruh mereka berjalan itik selama empat jam tanpa henti sambil dipukul menggunakan jaring yang diikat pada raket badminton.
Penganggur berusia 35 tahun itu dikenakan hukuman terbabit selepas mengaku salah atas empat tuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim, Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah.
Mangsa yang berusia 13 tahun merupakan anak lelaki tertuduh, manakala mangsa berusia 15 tahun merupakan anak perempuannya.
Mengikut semua tuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menganiaya anak lelaki dan anak perempuannya, sehingga mungkin menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah unit kediaman blok Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kepong Utara, kira-kira 9 malam pada 30 Mei sehingga 1 Jun, lapor Sinar Harian.
Semua tuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 ($14,329) atau penjara sehingga 20 tahun atau kededuanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa menganiaya anak lelakinya dengan memukul kaki remaja itu menggunakan jaring yang terpasang pada sebatang raket badminton.
Tertuduh didakwa turut melempang muka, memukul badan dan menyuruh anaknya itu berjalan itik di dalam rumah tanpa henti dalam tempoh masa yang lama.
Keesokan harinya, tertuduh mengulangi kesalahan sama terhadap anak perempuannya dengan memukul muka remaja itu menggunakan jaring raket badminton.
Tertuduh mendakwa melakukan perbuatan itu untuk memberi pengajaran kepada kededua anaknya.
Mahkamah memerintahkan hukuman bagi setiap tuduhan dijalankan secara serentak bermula dari tarikh ditangkap pada 1 Jun lalu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg