Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bapa penyerang Balai Polis Ulu Tiram hadapi tuduhan baru berkaitan bahan pengganasan

Sep 2, 2024 | 3:10 PM
Bapa penyerang Balai Polis Ulu Tiram, Johor, Radin Imran Radin Mohd Yassin, dikawal rapi polis ketika tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru pada 2 September.
Bapa penyerang Balai Polis Ulu Tiram, Johor, Radin Imran Radin Mohd Yassin, dikawal rapi polis ketika tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru pada 2 September. - Foto NSTP

JOHOR BAHRU: Bapa penyerang Balai Polis Ulu Tiram yang menyebabkan dua pegawai polis maut Mei lalu, Radin Imran Radin Mohd Yassin, dikenakan satu tuduhan baru berkaitan bahan pengganasan pada 2 September.

Radin Imran, 62 tahun, dituduh memiliki sebuah buku bertajuk ‘Hakikat Islam dan Hakikat Syirik’ oleh Abu Sulaiman Aman Abdurrahman yang berkaitan kumpulan pengganas ISIS, di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

Dia didakwa di bawah Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda dan rampasan bahan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada Radin Imran, yang hanya menyatakan faham selepas tuduhan dibacakan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) memohon mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Radin Imran daripada salah satu daripada empat tuduhan yang dikenakan ke atasnya, atas alasan teknikal.

Dalam serangan pada 17 Mei itu, dua anggota polis, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, maut akibat ditembak dan ditetak dengan parang oleh suspek, Radin Luqman, iaitu anak Radin Imran.

Radin Luqman, 21 tahun, ditembak mati oleh seorang lagi anggota polis, Koperal Mohd Hasif Roslan, yang turut cedera dalam kejadian itu.

Pada 19 Jun, Radin Imran bersama empat ahli keluarganya – isteri Rosna Jantan, seorang warga Singapura berusia 59 tahun; dan tiga anak mereka, Radin Romyullah, 34 tahun; Farhah Sobrina, 23 tahun; dan Mariah, 19 tahun – dikenakan sembilan tuduhan berasingan, termasuk menggalak perbuatan pengganasan dengan menanam ideologi pengganasan ISIS.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas sembilan tuduhan dibacakan kepada semua tertuduh ketika itu.

Sebutan semula kes mereka sepatutnya berjalan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 2 September, tetapi ditangguhkan kerana laporan pakar pengganasan belum lengkap.

Hakim Rasidah Roslee menetapkan 24 September sebagai tarikh sebutan semula baru kes itu, selepas DPP memohon tarikh baru bagi menyerahkan laporan itu kepada mahkamah.

DPP, Encik Yazid Mustaqim Roslan, memberitahu mahkamah pihak pendakwaan memerlukan kira-kira sebulan lagi untuk melengkapkan laporan itu.

Ini kali kedua sebutan semula kes kelima-lima tertuduh ditangguhkan berikutan laporan pakar pengganasan tidak lengkap, lapor The Star.

Peguam yang mewakili semua tertuduh, Encik Arief Firdaus Ashikin, memohon mahkamah supaya tarikh sebutan baru itu muktamad, sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada 31 Julai, Mahkamah Sesyen Johor Bahru memerintahkan Mariah mendapatkan rawatan di hospital kerana dikesan mempunyai simptom kemurungan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg