Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Adik suspek serangan Ulu Tiram alami kemurungan, diarah dapatkan rawatan

Jul 31, 2024 | 2:58 PM
Mariah Radin Imran, 19 tahun (tengah), adik suspek serangan berdarah Balai Polis Ulu Tiram, Johor, pada 17 Mei, dikatakan mempunyai simptom kemurungan sebelum Mahkamah Sesyen Johor Bahru mengarahkan dia dibawa menjalani rawatan di hospital.
Mariah Radin Imran, 19 tahun (tengah), adik suspek serangan berdarah Balai Polis Ulu Tiram, Johor, pada 17 Mei, dikatakan mempunyai simptom kemurungan sebelum Mahkamah Sesyen Johor Bahru mengarahkan dia dibawa menjalani rawatan di hospital. - Foto NSTP

JOHOR BAHRU: Seorang daripada lima ahli keluarga kepada suspek serangan berdarah di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, pada 17 Mei lalu, dikesan memiliki gejala kemurungan.

Menyusuli itu, Mahkamah Sesyen Johor Bahru memerintahkan, Mariah Radin Imran, 19 tahun, mendapatkan rawatan di hospital dengan segera dan tanpa gagal.

Hakim Rasidah Roslee memutuskan demikian selepas peguam, Encik Faizal Rahman, yang mewakili kelima-lima tertuduh memohon supaya Mariah dirujuk ke hospital kerana mengalami tanda kemurungan ketika mereka bertemu di Penjara Simpang Renggam, Johor, pada akhir Jun.

Encik Faizal memberitahu demikian ketika prosiding sebutan semula kes lima sekeluarga itu di mahkamah pada 31 Julai dan tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya, Cik Fazeedah Faik, yang turut memohon mahkamah menetapkan tarikh baru untuk sebutan semula kerana laporan pakar pengganasan masih belum dilengkapkan.

Mahkamah kemudian menetapkan 2 September untuk sebutan semula bagi mendapatkan laporan pakar pengganasan sekali gus memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, lapor Berita Harian Malaysia.

Terdahulu, Mariah bersama bapanya, Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62 tahun; ibu, Rosna Jantan, 59 tahun, yang juga warga Singapura; abang, Radin Romyullah, 34 tahun; dan kakaknya, Farhah Sobrina Radin Imran, 23 tahun, dibawa ke Kompleks Mahkamah Johor Bahru, pada 8.35 pagi sambil dikawal ketat lebih 20 anggota polis bersenjata.

Pada 19 Jun, kelima-lima tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas sembilan tuduhan berasingan, termasuk menggalak perbuatan pengganas dengan menanam ideologi kumpulan pengganas ISIS.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Dalam kejadian serangan 2.30 pagi pada 17 Mei, dua anggota polis, Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22 tahun; dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24 tahun, terkorban akibat ditembak dan ditetak dengan parang oleh suspek lelaki.

Suspek berusia 21 tahun berjaya ditembak mati oleh seorang anggota polis, Koperal Mohd Hasif Roslan, 38 tahun, yang turut cedera dalam kejadian terkena tembakan pada bahu dan pinggul.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg