JOHOR BAHRU: Lima ahli keluarga suspek kes serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor, yang mengorbankan dua anggota polis pada 17 Mei lalu, didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada 19 Jun, atas sembilan pertuduhan berasingan, termasuk menggalak dan menanam ideologi keganasan kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (IS).
Tertuduh membabitkan bapa lelaki berkenaan, Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62 tahun, dan ibunya, Rosna Jantan, 59 tahu, yang juga warga Singapura.
Turut didakwa, tiga adik beradik suspek lelaki yang ditembak mati pada 17 Mei lalu, iaitu Radin Romyullah Radin Imran, 34 tahun; Farhah Sobrina Radin Imran, 23 tahun, dan Mariah Radin Imran, 19 tahun.
Pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, lapor Berita Harian Malaysia.
Dalam kejadian serangan 2.30 pagi pada 17 Mei lalu, dua anggota polis, Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22 tahun, dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24 tahun, terkorban.
Suspek berusia 21 tahun berjaya ditembak mati oleh seorang anggota polis, Koperal Mohd Hasif Roslan, 38 tahun, yang turut cedera dalam kejadian terkena tembakan pada bahu dan pinggul.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg