KUALA LUMPUR: Abang sulung kepada lelaki yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram, di Johor, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 16 Oktober atas dua tuduhan berkaitan pengganas ISIS.
Tertuduh, Radin Romyullah Radin Imran, 34 tahun, membuat pengakuan tidak bersalah selepas kededua tuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim K Muniandy.
Mengikut tuduhan pertama, Radin Romyullah didakwa memberi sokongan kepada (ISIS) dengan cara berbai’ah kepada pemimpin kumpulan pengganas itu, Abu Bakar Al-Baghdadi, lapor Kosmo!.
Bagi tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak lebih 40 tahun atau denda, dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu.
Mengikut tuduhan kedua, lelaki itu didakwa memiliki cakera padat yang mengandungi bahan berkaitan kumpulan IS dan perlakuan pengganas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dilucutkan mana-mana bahan tersebut.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Rabani, Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru, masing-masing pada penghujung 2014 serta 17 Mei dan 19 Mei 2024.
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Encik Yazid Mustaqim Roslan, manakala tertuduh diwakili peguam Encik Arief Firdaus Asyikin.
Encik Yazid Mustaqim berkata Radin Romyullah akan dibicarakan bersama tertuduh lain yang sebelum ini dituduh atas kesalahan sama di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, di hadapan hakim berbeza. Hakim Muniandy kemudian menetapkan 15 November ini untuk pengurusan kes.
Selain Radin Romyullah, empat lagi ahli keluarga suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Jun lalu atas sembilan tuduhan berasingan.
Ia termasuklah tuduhan menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam ideologi pengganasan kumpulan pengganas IS.
Tertuduh ialah bapa suspek, Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62 tahun; ibu tertuduh yang juga warga Singapura, Rosna Jantan, 59 tahun; serta dua lagi adiknya, Farhah Sobrina Radin Imran, 23 tahun, dan Mariah Radin Imran, 19 tahun.
Dalam serangan berdarah di Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei lalu, dua konstabel polis, Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22 tahun, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24 tahun, terkorban, manakala seorang lagi, Koperal Mohd Hasif Roslan, 38 tahun, cedera ditembak selepas diserang seorang lelaki – adik Radin Romyullah – yang akhirnya ditembak mati dalam insiden tersebut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg