KUALA LUMPUR: Bas pelancongan dari Singapura dibenarkan memasuki Malaysia, namun tidak boleh beroperasi sebagai bas ekspres.
Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, menegaskan peraturan itu bersifat timbal balik, yang mana bas pelancongan Malaysia boleh beroperasi di Singapura dan bas pelancongan Singapura juga boleh membawa pelancong di Malaysia.
Beliau berkata Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) tidak memberikan sebarang permit bas ekspres kepada mana-mana syarikat asing termasuk dari Singapura untuk beroperasi di negara itu dan operasi mereka di Malaysia hanyalah bagi kategori bas persiaran yang sememangnya dibenarkan.
“Bas persiaran dari Singapura boleh masuk ke negara kita, begitu juga dengan bas persiaran kita yang boleh masuk ke sana. Kita tidak mengharamkan bas persiaran masuk.
“Sebaliknya, bagi kategori bas ekspres, kita tidak pernah mempertimbangkan dan tidak akan mempertimbangkan untuk diberikan permit bagi operasi di sini,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (Perikatan Nasional - Pengkalan Chepa) di Parlimen, yang meminta kerajaan menokhtahkan operasi bas ekspres haram dari Singapura yang memberi kesan kepada pengusaha bas tempatan.
Bas ekspres merujuk kepada pengangkutan awam jarak jauh antara bandar atau negeri mengikut laluan dan hentian dibenarkan Apad, tambang ditetapkan dan tiket individu. Ia dikawal selia Kementerian Pengangkutan.
Sementara bas pelancongan atau persiaran ialah bas sewa khas membawa kumpulan pelancong ke kawasan tarikan, dengan bayaran tertentu serta memerlukan lesen dan permit Kementerian Pelancongan.
Encik Loke berkata bagi operasi bas persiaran dari Singapura, mereka tidak boleh mengambil penumpang lain sepanjang perjalanan seperti dibuat oleh bas ekspres.
Katanya, tindakan penguatkuasaan akan diambil jika mendapati bas persiaran dari Singapura yang membawa pelancong dari sana, membuat pengambilan penumpang ketika berada di Malaysia.
“Industri tempatan mempertikaikan sama ada pengusaha ini menjalankan fungsi sebagai bas ekspres iaitu jika mereka mengambil penumpang dari Kuala Lumpur, contohnya ke Singapura, yang mana jawapannya kita tidak benarkan.
“Jadi tidak timbul syarikat tempatan hilang punca pendapatan atau mengalami kerugian disebabkan isu terbabit,” katanya lagi.
Sebelum ini, bas persiaran Aeroline, yang memberi khidmat perjalanan antara Singapura dengan Malaysia, dikenakan tindakan digantung operasi oleh Agensi Pengangkutan Darat Malaysia (Apad).
Apad mengarahkan syarikat bas itu menggantung operasi selama sebulan sehingga 5 Disember 2025, kerana mengambil dan menurunkan penumpang di kawasan yang tidak dibenarkan.
Bagaimanapun, syarikat itu telah dibenarkan kembali beroperasi lebih awal, iaitu mulai 28 November lalu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg