KUALA LUMPUR: Bayaran haji bagi 2025 naik 20 peratus bagi jemaah haji muassasah kumpulan B40 (berpendapatan rendah) dan M40 (berpendapatan sederhana) susulan peningkatan kos penginapan, penerbangan dan caj perkhidmatan di tanah suci.
Bagi 2025, kadar bayaran bagi jemaah haji muassasah kumpulan B40 yang menunaikan ibadah itu buat kali pertama ditetapkan pada RM15,000 ($4,543) berbanding RM12,356 seorang pada 2024.
Kadar bayaran bagi bakal haji kumpulan M40 yang kali pertama menunaikan ibadat itu pula ialah RM23,500 berbanding RM19,152 seorang pada 2024.
Kadar bayaran bagi bakal haji kumpulan T20 (berpendapatan tinggi) yang kali pertama kekal RM33,300 pada 2025 iaitu bersamaan kos haji bagi seorang haji muassasah yang ditetapkan pada 2024.
Perkara itu diumumkan Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman, dalam sidang media khas pada 16 Disember.
Syed Hamadah berkata pihak TH telah dapat mengekang peningkatan kos bagi musim haji 1446H/2025M yang mana kos haji masih kekal pada RM33,300 bagi seorang jemaah muassasah, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Katanya, bagi tujuan mengekang kenaikan kos, TH mengambil pelbagai langkah termasuk mendapatkan kontrak jangka panjang penerbangan.
“Bagi mengawal kos, TH berusaha mendapatkan kontrak jangka panjang penerbangan meskipun dalam keadaan harga minyak meningkat,” katanya.
Katanya, kos penginapan, penerbangan dan caj perkhidmatan di tanah suci merangkumi 87 peratus daripada kos keseluruhan dengan ia adalah di luar kawalan TH.
TH, katanya, meneruskan Bantuan Kewangan Haji (Hafis) kepada jemaah muassasah dalam kategori B40 dan M40 yang kali pertama menunaikan ibadat itu bagi musim haji 1446H/2025M.
Menurut Syed Hamadah, bagi kumpulan B40, Bantuan Kewangan Haji diperuntukkan adalah RM18,300 atau 55 peratus manakala bagi jemaah haji dalam kalangan M40, sebanyak 29 peratus atau RM9,800.
“Bantuan Kewangan Haji pada musim haji kali ini dianggarkan berjumlah RM261 juta dan ini menjadikan jumlah terkumpul meningkat kepada lebih RM2.8 bilion dalam masa 25 tahun.
“Justeru, TH mengambil langkah menurunkan kadar Bantuan Kewangan Haji secara berperingkat sejak 2022 ke arah memenuhi konsep kemampuan dalam menunaikan ibadat haji atau istitoáh yang mana ibadat haji diwajibkan bagi yang berkemampuan,” jelasnya.
Katanya, jumlah itu termasuk bantuan kerajaan sebanyak RM1,000 seorang bagi jemaah muassasah kali pertama dalam kalangan kumpulan B40.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg