SEMPORNA (Sabah): Enam termasuk ibu bersama bayi lelakinya dan kanak-kanak perempuan maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kalumpang, Semporna-Tawau, dekat Semporna, Sabah, pada 12 Januari petang.
Kemalangan kira-kira 4.50 petang itu membabitkan sebuah pacuan empat roda dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), yang masing-masing dinaiki empat individu.
Setakat ini, kesemua enam mangsa yang meninggal dunia dan seorang lagi yang cedera adalah penumpang kereta, namun maklumat lengkap identiti mereka belum diperoleh.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Sobri Zainol, berkata mereka yang meninggal dunia adalah wanita bersama bayi lelaki berusia lapan bulan yang juga isteri serta anak pemandu, warga emas berumur 82 tahun, kanak-kanak perempuan tujuh tahun dan dua remaja lelaki berumur 15 dan 18 tahun.
Seorang kanak-kanak lelaki berumur lapan tahun iaitu seorang daripada tiga penumpang MPV parah di bahagian kaki, manakala empat orang yang menaiki pacuan empat roda cedera ringan.
Beliau berkata kereta dinaiki terlajak hingga memasuki jalan bertentangan dipercayai menjadi punca kemalangan.
“Dalam kejadian itu, kereta dinaiki semua mangsa dari arah Tawau ke Semporna, kemalangan dengan pacuan empat roda dan MPV,” katanya, lapor Harian Metro.
Menurutnya apabila tiba di tempat kejadian, kereta dipandu lelaki berumur 34 tahun memasuki laluan bertentangan dan melanggar tayar belakang pacuan empat roda, menyebabkan ia berpusing beberapa kali sebelum terbalik.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pula berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan membabitkan nahas pada 4.58 petang, sebelum sepasukan tujuh anggota dikejarkan ke tempat kejadian sejauh 35 kilometer.
“Sebaik tiba, didapati seramai 15 mangsa terlibat dengan enam daripadanya disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan, selain seorang lagi cedera,” katanya.
Beliau berkata mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan pada 7.16 malam.
Menurutnya siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg