Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kereta langgar lembu: bayi 11 bulan maut dalam pangkuan ibu

Oct 24, 2025 | 12:24 PM
langgar, lembu, maut
Dua lembu mati selepas dilanggar sebuah kereta Perodua Bezza di Kilometer 49 Jalan Kerayong–Simpang Kepayang, Bera, Pahang, pada malam 23 Oktober, yang turut menyebabkan seorang bayi perempuan berusia 11 bulan maut, manakala ibunya cedera.  - Foto POLIS DIRAJA MALAYSIA

BERA (Pahang): Seorang bayi perempuan berusia 11 bulan maut dalam pangkuan ibunya selepas kereta dinaiki keluarga itu terbabas selepas merempuh sekumpulan lembu di Kilometer 49 Jalan Kerayong–Simpang Kepayang, dekat Bera, Pahang, pada malam 23 Oktober.

Dalam kejadian kira-kira 9.40 malam itu, mangsa, Nur Adriana Amira Mohamad Norismail, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Bandar 32 akibat kecederaan di kepala.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir, berkata kereta Perodua Bezza dipandu bapa mangsa, Encik Mohamad Norismail Sani, 22 tahun, bersama isterinya, Nik Nur Aini Azierah Che Azeman, 21 tahun, dalam perjalanan dari arah Kepayang menuju ke Kerayong untuk membeli susu anak mereka.

“Siasatan awal mendapati ketika tiba di lokasi, sekumpulan lembu tiba-tiba keluar dari arah kiri ke kanan jalan menyebabkan pemandu hilang kawalan sebelum melanggar haiwan berkenaan dan terbabas ke bahu jalan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Menurutnya bayi berkenaan masih berada dalam pangkuan ibunya ketika kejadian dan tidak tercampak keluar dari kenderaan.

“Dua daripada tiga lembu yang dilanggar mati di tempat kejadian, manakala seekor lagi cedera,” katanya.

Encik Zulkiflee berkata siasatan awal mendapati nahas berlaku akibat pemandu yang gagal mengawal kenderaan ketika melalui kawasan berkenaan.

“Pihak polis bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Bera turut mengadakan operasi menangani masalah lembu dan kerbau berkeliaran di jalan raya pada malam sama, namun kejadian berlaku lebih awal sebelum operasi bermula,” katanya.

Kemalangan melibatkan haiwan kerap berlaku di Malaysia dengan sejumlah 2,361 haiwan liar dilaporkan mati dilanggar kenderaan di jalan di seluruh negara sejak 2020 hingga 2025 setakat ini.

Mantan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, pada Mei lalu dilaporkan berkata dalam tempoh itu, Pahang menjadi negeri tertinggi merekodkan jumlah kematian haiwan liar akibat kemalangan jalan raya iaitu 765 ekor, diikuti Perak (478); Kelantan (224); Terengganu (201) dan Negeri Sembilan (187).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg