Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nahas di Selangor: Tiada kerusi keselamatan punca bayi tercampak

Sep 30, 2025 | 10:10 AM
kanak-kanak, kerusi, keselamatan
Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, menegaskan kepentingan kerusi keselamatan kanak-kanak untuk mencegah kemalangan maut terutama kes tercampak keluar dari kenderaan seperti yang berlaku dalam nahas empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang, Selangor (gambar kecil) pada 27 September lalu. - Foto NSTP

GOMBAK (Selangor): Ketiadaan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak menjadi punca utama seorang bayi lelaki berusia setahun tercampak keluar dari kenderaan sebelum maut dalam nahas ngeri di Plaza Tol Bukit Kajang, Selangor, pada 27 September lalu.

Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, berkata laporan polis dan siasatan awal mendapati bayi terbabit tidak diletakkan dalam kerusi kanak-kanak ketika kejadian.

Ia sekali gus menjadi punca mangsa tercampak keluar lalu tersepit dalam kenderaan lain selepas lori muatan barangan lusuh merempuh beberapa kenderaan di plaza tol berkenaan.

“Saya tidak menyalahkan mangsa atau ibu bapa, tetapi ini satu peringatan penting kepada semua.

“Ramai yang mengeluh apabila kerajaan mewajibkan penggunaan kerusi kanak-kanak kerana faktor kos, namun insiden ini membuktikan betapa pentingnya ciri keselamatan itu.

“Bayangkan jika bayi tersebut berada dalam kerusi kanak-kanak, kemungkinan besar dia tidak tercampak keluar dan nyawanya masih boleh diselamatkan,” katanya selepas majlis perasmian Terminal Bersepadu Gombak (TBG), Selangor pada 29 September, lapor Harian Metro.

Menurut Encik Loke, kerusi kanak-kanak adalah ciri keselamatan tambahan yang terbukti mampu melindungi nyawa penumpang kecil dan ia tidak boleh dipandang ringan.

“Setiap ciri keselamatan yang diperkenalkan mempunyai fungsi dan kebaikan tersendiri.

“Insiden ini sekali lagi membuktikan bahawa mengabaikan kerusi kanak-kanak boleh membawa risiko besar kepada kanak-kanak,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau menegaskan penyelenggaraan kenderaan berat juga tidak boleh hanya bergantung kepada ujian Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) yang dilakukan setiap enam bulan.

“Lori terbabit mempunyai permit sah, rekod Puspakom masih sah, tetapi itu tidak bermakna pengendali boleh lepas tangan.

“Penyelenggaraan mesti dilakukan sepanjang masa. Dalam kes ini jelas brek lori gagal berfungsi sehingga merempuh plaza tol dan beberapa kenderaan lain,” katanya.

Encik Loke berkata syarikat lori berkenaan hanya memiliki dua permit dengan dua lori aktif, namun kejadian itu cukup untuk memberi peringatan keras kepada semua pengusaha pengangkutan supaya memastikan kenderaan sentiasa selamat digunakan.

Dalam kejadian pada 11 pagi, 27 September lalu, seorang bayi lelaki, Amir Husain, maut manakala lapan individu lain cedera dalam nahas membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang.

Sementara itu, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dalam kenyataan pada 30 September, berkata berdasarkan perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh 10 tahun (2014 hingga 2023), purata kanak-kanak maut akibat kemalangan jalan raya adalah seramai 434 orang setahun, bersamaan lapan kanak-kanak yang terkorban setiap minggu.

“Justeru Miros menegaskan bahawa penggunaan Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak (Child Restraint System (CRS) adalah langkah penting untuk melindungi kanak-kanak dalam sebarang kemalangan.

“Penggunaan CRS telah diwajibkan sejak 1 Januari 2020, namun kadar penggunaannya masih rendah.

“Kajian Miros mendapati tahap penggunaan CRS di Malaysia adalah sekitar 30 peratus saja pada 2022,” kata Miros.

Menurut Miros, penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak yang dipasang dengan betul serta sesuai dengan ketinggian dan berat badan kanak-kanak terbukti dapat mengurangkan risiko kematian penumpang kanak-kanak yang berumur bawah empat tahun sebanyak 54 peratus hingga 71 peratus.

Kejadian malang itu meninggalkan kesedihan tidak terungkap buat sepasang suami isteri selepas zuriat yang dinanti selama 10 tahun terkorban dalam kemalangan itu.

Bagaimanapun, kembar kepada bayi yang maut , Amir Hasan terselamat daripada kecederaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg