Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bayi terjatuh dari katil hospital di Terengganu, bapa buat laporan polis

Dec 27, 2024 | 11:06 AM
Encik Muhammad Syarifuddin Manan menunjukkan laporan polis dan gambar keadaan bayi perempuannya yang didakwa terjatuh dari katil bayi semasa ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, pada 26 Disember.
Encik Muhammad Syarifuddin Manan menunjukkan laporan polis dan gambar keadaan bayi perempuannya yang didakwa terjatuh dari katil bayi semasa ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, pada 26 Disember. - Foto BH ONLINE

KUALA TERENGGANU: Pasangan suami isteri kecewa dengan keadaan bayi perempuan mereka yang kerap mengalami sawan selepas dikatakan terjatuh dari katil bayi di perkarangan sebuah hospital di sini.

Bapa bayi terbabit, Encik Muhammad Syarifuddin Manan, 24 tahun, mendakwa bayi perempuannya terjatuh dari katil bayi ketika proses pemindahan ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) pada pertengahan November.

Menurut beliau, bayinya yang kini berusia 41 hari menghidap kuning sebelum dipindahkan untuk rawatan.

Pada hari kejadian, katil menempatkan bayinya yang berusia dua hari ditinggalkan tanpa pengawasan jururawat di kawasan jalan cerun menurun di laluan pusat rawatan ibu dan anak (Priba) ke unit kecemasan hospital berkenaan.

“Katil bayi itu secara tiba-tiba menggelongsor dan terbalik menyebabkan bayi kami terjatuh ke jalan,” katanya semasa ditemui di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada 26 Disember, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Terdahulu, Encik Muhammad Syarifuddin bersama peguamnya, Encik Mohd Hazwan Hamidun, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu.

Encik Muhammad Syarifuddin dan isterinya, Cik Wan Nur Farisyatu Ikmal Wan Fadali, 22 tahun, yang juga guru, berkahwin pada 2022 dan menyambut kelahiran anak mereka pada 15 November.

Mengulas lanjut, Encik Muhammad Syarifuddin berkata kepala bayi perempuannya terhantuk pada permukaan jalan di pekarangan Priba.

Berikutan kejadian itu, katanya, anak sulungnya mengalami pendarahan di kepala dan sering mengalami sawan.

“Bayinya dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sebanyak tiga kali iaitu pada 17 November hingga 4 Disember.

“Kami juga sudah membuat laporan polis kali pertama pada 17 November lalu dan kali kedua pada hari ini (26 Disember),” katanya.

Ditanya maklum balas hospital, Encik Muhammad Syarifuddin berkata pengurusan hospital mengesahkan bayi itu terjatuh, tetapi menafikan kecuaian jururawat dan mendakwa kemalangan itu berlaku disebabkan keadaan jalan yang tidak rata.

“Kami ada mengemukakan permohonan untuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan laporan lengkap, tetapi pengurusan HSNZ memberi alasan sulit untuk diberikan kepada orang awam,” kongsinya.

BHM sudah menghubungi hospital untuk mendapatkan maklum balas tetapi setakat ini belum ada jawapan rasmi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg