KUALA LUMPUR: Selepas gempar dengan isu kucing ditemui mati dipercayai dibunuh kejam dengan empat kakinya dipotong di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur, pada 16 Disember, bangkai seekor anjing dan seekor lagi kucing ditemui di kawasan kampus varsiti itu pada petang 25 Disember.
Kededua bangkai terkini ditemui di dua lokasi berasingan dalam kawasan universiti berkenaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata pihaknya telah menerima laporan mengenai kejadian itu.
“Kami masih berada pada peringkat awal siasatan. Kami pasti akan menyiasat perkara ini dengan lebih lanjut,” katanya, lapor The Star.
Sementara itu, Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) menyatakan perkara itu telah dilaporkan kepada Pejabat Keselamatan dan polis.
“Saya telah menghubungi pejabat keselamatan dan meminta kawalan akses yang lebih ketat di kampus.
“Kami juga sedang dalam proses mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” tambah kesatuan itu dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Malaysia dikejutkan dengan kematian tragik tiga kucing jalanan di UM dengan salah seekor didapati empat kakinya seperti dipotong dan perutnya terburai pada 16 Disember.
Ia mencetus persoalan dan mengundang kemarahan masyarakat terutama pencinta kucing.
Hasil siasatan polis mengaitkan kematian kucing berkenaan dengan serangan anjing liar yang berleluasa di UM.
Namun, banyak pihak terutama badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis haiwan menyifatkan cara kematian itu amat ngeri, meragukan dan ‘tidak masuk akal’.
Ia berikutan kaki kucing terpotong seperti menggunakan senjata tajam umpama didera manusia kejam, bukan kesan gigitan anjing.
Menyusuli kenyataan polis itu, Encik Rajesh Nagarajan, daripada peguam bagi hak asasi haiwan, ‘Lawyers for Animal Rights’ berkata, beliau percaya seorang psikopat bertanggungjawab dalam kejadian pembunuhan kejam kucing di UM.
Beliau menyatakan laporan veterinar menunjukkan anggota badan seekor kucing telah dipotong menggunakan senjata tajam.
Seorang aktivis penyelamat haiwan, Cik Shima Aris, berkata beliau mendapat tahu mengenai beberapa kes pembunuhan kucing di kampus UM sejak beberapa bulan kebelakangan ini dan menambah bahawa bangkai-bangkai tersebut telah dikebumikan di kawasan kampus.
Menyusuli gesaan itu, Datuk Rusdi berkata siasatan polis mengenai pembunuhan kucing di universiti itu telah dimulakan dan beliau menyatakan polis memanggil aktivis terbabit pada 26 Disember untuk memberi keterangan.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak (Kuala Lumpur), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, turut terkesan dengan kejadian malang yang menimpa kucing berkenaan dan menggesa tindakan serta-merta serta siasatan menyeluruh dilaksanakan, untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.
Beliau, yang juga isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengecam kelakuan penganiayaan terhadap haiwan dan berkata siasatan itu perlu bagi memastikan kejadian yang bertentangan dengan nilai kemanusiaan dan melanggar undang-undang itu tidak berulang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg