KUALA LUMPUR: Bayi perempuan berusia 10 bulan, Nur Ammara Medina, memerlukan bantuan sebanyak RM50,000 untuk menjalani pembedahan disebabkan masalah jantung berlubang.
Bapanya, Encik Mohamad Akmal Adree Rosdi, 34 tahun, berkata beliau dan isterinya, Cik Nurul Nadiya Fauzi, 23 tahun, diberitahu bahawa anak sulungnya itu disahkan menghadapi masalah itu ketika berusia lima hari.
Menurut Encik Mohamad Akmal, beliau dan Cik Nurul Nadiya membawa Nur Ammara ke Hospital Gua Musang di Kelantan ketika dia berusia tiga hari untuk mendapatkan rawatan akibat demam kuning.
“Bagaimanapun, doktor yang merawat Nur Ammara mendapati pernafasannya agak tinggi dan merujuk kami ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kota Bharu.
“Di HUSM, Nur Ammara menjalani prosedur Ekokardiogram dan disahkan menghidapi masalah jantung berlubang,” kata Encik Mohamad Akmal di Pantai Hospital Kuala Lumpur pada 19 September.
Tambahnya, Nur Ammara sudah beberapa kali mendapatkan rawatan di hospital kerana masalah jangkitan kuman sepanjang 10 bulan ini.
Selain itu, anaknya juga perlu makan ubat tekanan darah tinggi akibat masalah pernafasan tinggi.
Encik Mohamad Akmal, yang bekerja di Genting Highlands, berkata doktor menyarankan Nur Ammara menjalani pembedahan segera untuk memulihkan masalah jantung berlubang dihadapinya.
“Dengan pendapatan sekitar RM2,000, manakala isteri seorang suri rumah, kami memang tidak mampu menampung kos pembedahan anak.
“Oleh itu, kami berharap orang ramai sudi menghulurkan bantuan supaya Nur Ammara dapat menjalani pembedahan segera, seterusnya menjadi anak yang normal seperti bayi lain.
“Kami ucapkan terima kasih kepada semua yang membantu serta mahu membantu meringankan beban kami ini. Hanya Tuhan yang dapat membalas jasa baik anda semua,” katanya yang tinggal di Banting, Selangor.
Sementara itu, Perunding Pediatrik dan Pakar Bedah Kardiotoraks Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Siti Laura Mazalan, berkata Nur Ammara menghadapi masalah lubang di dalam jantung menyebabkan darah banyak ke paru-paru sekali gus berhadapan masalah pernafasan.
Dr Siti Laura menambah bahawa pembedahan yang perlu dilakukan bagi memulihkan masalah Nur Ammara adalah dengan menampal bahagian jantung yang berlubang supaya salur darah tidak ke bahagian paru-paru.
“Lubang itu berada berdekatan dengan injap, jadi pembedahan itu rumit sedikit. Pembedahan ini mungkin mengambil masa dua hingga tiga jam,” katanya.
Menurut Dr Siti Laura, kebaikan pembedahan jantung adalah kanak-kanak berkaitan akan hidup normal selepas pembedahan seperti kanak-kanak biasa. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg