KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC), dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada 29 September, atas dua pertuduhan memperdayakan Lembaga Pengarah FIC.

Tuduhan itu berkaitan pelantikan sebuah syarikat bagi projek cadangan pembangunan komersial serta nilai harga pasaran bagi 24 tanah milik Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), pada 2014.

Mohd Zaid Abdul Jalil, 55 tahun, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

“Faham (pertuduhan), saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” katanya selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan, lapor Malaysiakini.

Mohd Zaid didakwa sebagai CEO FIC memperdayakan Lembaga Pengarah syarikat itu untuk mempercayai Synergy Promenade Sdn Bhd layak dilantik sebagai Pemaju Utama (Master Developer) bagi projek komersial di Jalan Semarak, sedangkan beliau mengetahui syarikat terbabit hanya layak menjadi Perancang Utama (Master Planner).

Perbuatan itu mendorong Lembaga Pengarah FIC meluluskan pelantikan Synergy Promenade sebagai Rakan Kongsi Pelaksanaan Projek – Pemaju Utama bagi projek berkenaan, yang mana Lembaga Pengarah FIC tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Zaid didakwa sebagai CEO FIC telah memperdayakan Lembaga Pengarah FIC, dengan membuat mereka percaya bahawa nilai pasaran 24 lot tanah milik Felda untuk membangunkan tanah secara komersial di atas lot berkenaan yang dilaporkan oleh Firdaus & Associates Property Professionals Sdn Bhd berjumlah RM330.96 juta ($103.40 juta), sedangkan tertuduh mengetahui jumlah sebenar yang dilaporkan ialah RM691.7 juta.

Anggaran awal nilai pasaran yang diberikan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) bagi semua tanah itu ialah RM180 juta dan tertuduh juga mengetahui JPPH tidak pernah memberikan anggaran awal nilai pasaran itu kepada Felda.

Perbuatan perdayaan tertuduh itu telah mendorong Lembaga Pengarah FIC menerima tawaran daripada Synergy Promenade berdasarkan cadangan Pulangan Terjamin Minimum, iaitu RM500 juta atau 10 peratus daripada Nilai Pembangunan Kasar, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, sedangkan Lembaga Pengarah FIC tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan.

Dia dituduh melakukan kesalahan tersebut di bilik Mesyuarat Lembaga, tingkat 50, Menara Felda, Kuala Lumpur pada 16 Januari 2014 dan 29 April 2014.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan, selain memenuhi syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan serta menetapkan 29 Oktober ini untuk serahan dokumen.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka enam kertas siasatan baharu berhubung dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan Felda serta anak syarikatnya, FIC.

Siasatan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) adalah sebahagian daripada tujuh kertas siasatan membabitkan Felda dan FIC, iaitu enam kertas siasatan baharu serta satu siasatan lama.

Siasatan berkenaan memberi tumpuan terhadap pembelian dan pelaburan aset oleh Felda serta FIC antara 2010 dengan 2020, yang disyaki mempunyai unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.