Topik diikuti
Pergi ke BHkuBekas CEO UBB Investment Bank didakwa tipu pelaburan RM139j
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UBB Investment Bank Limited, Encik Razlan Raghazli, didakwa atas pertuduhan menipu lebih RM139 juta ($43.77 juta) daripada pelaburan Amanah Berhad milik bank itu dalam sebuah syarikat pendidikan pada September 2025.
Encik Razlan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Azura Alwi, pada 19 Ogos.
Encik Razlan didakwa memperdaya Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Amanah Berhad bank berkenaan, Cik Aida Aizura Othman, sehingga mempercayai beliau telah menandatangani jadual pembayaran bagi kemudahan pembiayaan hartanah Islamik mengikut nasihat guaman daripada Tetuan Kassim Tadin, Wai & Co.
Perkara itu menyebabkan Cik Aida melepaskan pembayaran berjumlah RM139,891,776 kepada ELMU Higher Education Sdn Bhd, lapor portal berita, Malaysiakini.
Bagaimanapun, dalam pertuduhan tersebut, Encik Razlan didakwa mengetahui tindakannya bertentangan dengan nasihat peguam dan Cik Aida tidak akan melepaskan dana berkenaan sekiranya tidak diperdaya oleh tertuduh.
Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM60,000 terhadap Encik Razlan serta mengenakan syarat tambahan yang diminta pihak pendakwaan.
Hakim menetapkan 12 Oktober untuk pengurusan kes.
Sebelum prosiding ditangguhkan, peguam yang mewakili bank sebagai pemerhati prosiding, Encik Johan Mohan Abdullah, memohon supaya mahkamah mengarahkan media tidak menyiarkan nama institusi kewangan berkenaan dalam laporan mereka.
Menurut peguam tersebut, bank berkenaan bimbang pendeposit akan panik dan perkara itu boleh menjejaskan kestabilan bank.
Permohonan itu ditolak selepas mahkamah mengambil perhatian bahawa nama bank pelaburan berkenaan dinyatakan dalam kertas pertuduhan dan orang ramai berhak mengetahui butiran penuh kes tersebut.
Pada Jun, UBB Investment Berhad dikenakan kompaun RM10 juta oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Labuan (LFSA).
Kompaun itu dikenakan kerana kegagalan bank berkenaan melaporkan lebih 50 transaksi mencurigakan yang dilakukan antara 2023 dengan 2024, selain melanggar peraturan antipengubahan wang haram yang lain.
Bank berkenaan telah membayar sepenuhnya kompaun tersebut pada 11 Jun.
Dalam satu kes berasingan, seorang Ketua Pegawai Kewangan (CFO) sebuah universiti swasta di Nilai, Negeri Sembilan, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban pada 19 Ogos, atas pertuduhan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM6.56 juta, sejak September 2025 hingga April 2026.
Cik Noraini Aripin, 55 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim M Kunasundary Marimuthu.
Mengikut pertuduhan, Noraini yang diamanahkan dengan penguasaan wang berjumlah RM6,557,720, didakwa menyalahgunakan dana berkenaan dengan membuat pembayaran selain bagi tujuan pembayaran duti ad valorem kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
