KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 20 Julai, melepas dan membebaskan pelakon, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, atas tiga pertuduhan bersubahat kes rasuah berjumlah RM2.8 juta ($800,000) membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah, Public Mutual Berhad.

Hakim Mahkamah Sesyen Rosli Ahmad, memutuskan perkara itu selepas berpuas hati pasukan pembelaan Datin Zizie berjaya menimbulkan keraguan dalam kes berkenaan berdasarkan keterangan dan hujahan kedua-dua pihak dan autoriti yang dikemukakan.

“Mahkamah ini memutuskan bahawa tertuduh berjaya menimbulkan keraguan dalam kes ini. Pihak pendakwaan gagal membuktikan satu kes yang melampaui keraguan munasabah seperti yang diperuntukkan di bawah Perenggan 173(m)(i) Kanun Acara Jenayah (KAJ).

“Oleh yang demikian, mahkamah ini memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan satu kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh bagi ketiga-tiga pertuduhan pindaan di bawah Perenggan 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Oleh itu, tertuduh dilepaskan dan dibebaskan bagi ketiga-tiga pertuduhan pindaan ini,” katanya ketika membacakan keputusan itu, lapor Berita Harian Malaysia.

Hakim Rosli berkata jaminan turut dibatalkan dan dipulangkan kepada penjamin serta pasport dipulangkan kepada pemilik dengan syarat tambahan juga dibatalkan.

Timbalan Pendakwa Raya, Encik Mohd Fadhly Mohd Zamry, dan Encik Law Chin How, memaklumkan pihak pendakwaan belum memutuskan sama ada akan merayu keputusan itu dan akan menunggu arahan seterusnya daripada Peguam Negara.

Sementara itu, Datin Zizie meluahkan rasa syukur dengan keputusan itu selepas tujuh tahun naik turun mahkamah.

“Saya akan teruskan kehidupan. Saya mempunyai tanggungjawab yang besar, lima anak yang perlu saya pikul. Saya ibu tunggal sekarang ini... tujuh tahun alhamdulilah (akhirnya kebenaran) berpihak kepada kami,” katanya ringkas selepas prosiding di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur itu.

Pada masa sama, Datin Zizie yang popular dengan filem, ‘Kekasih Awal dan Akhir’, itu turut memohon semua pihak memberi ruang untuk beliau menjalani kehidupan seperti biasa.

Datin Zizie, 48 tahun, balu kepada mantan Ahli Parlimen Kinabatangan, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya bagi memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM2.8 juta.

Pasukan pembelaan menutup kesnya selepas Datin Zizie selesai memberikan keterangan membela diri pada 5 Mac lalu, manakala Datuk Bung Moktar memberikan keterangan pada 2 September 2025, selepas pasangan suami isteri itu gagal mencabar keputusan Mahkamah Rayuan ketika itu yang memerintahkan mereka membela diri.

Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu pada 18 November 2024, selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan pasangan itu oleh Mahkamah Tinggi pada 7 September 2023, yang membebaskan pasangan terbabit daripada pertuduhan itu.

Mahkamah Tinggi memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Datuk Bung Moktar dan Datin Zizie, bagi menyemak keputusan Mahkamah Sesyen pada 2 September 2022 yang memerintahkan mereka membela diri terhadap pertuduhan itu.

Pada 16 Januari lalu, Mahkamah Sesyen membebaskan Allahyarham Datuk Bung Moktar daripada ketiga-tiga pertuduhan tersebut selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kes terhadap bekas ahli politik itu yang meninggal dunia pada 5 Disember 2025.

Bagi pertuduhan pertama, Datin Zizie didakwa bersubahat dengan Datuk Bung Moktar yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad, dengan memperoleh suapan wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Encik Madhi Abdul Hamid.

Suapan itu didakwa sebagai upah bagi suaminya mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah, Public Mutual Berhad.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Datin Zizie didakwa bersubahat dengan Datuk Bung Moktar untuk memperoleh suapan wang tunai masing-masing berjumlah RM262,500 dan RM337,500, daripada dua ejen melalui dua akaun pelaburan yang didaftarkan atas namanya bagi tujuan serupa.