KUALA LUMPUR: Bekas pegawai kanan kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, didakwa atas empat tuduhan menerima rasuah berjumlah RM176,830 ($55,704) daripada ahli perniagaan, Albert Tei.
Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin didakwa menerima rasuah semasa menyandang jawatan Setiausaha Politik Kanan, Datuk Anwar, bagi membantu syarikat Tei mendapatkan lesen cari gali mineral di Sabah.
Tuduhan yang dibacakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 4 Disember termasuk dua tuduhan menerima wang tunai berjumlah RM140,000, manakala baki rasuah diterima dalam bentuk pembelian perabot dan perkakasan rumah.
Datuk Shamsul Iskandar mengaku tidak bersalah terhadap keempat-empat tuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin, lapor portal berita Malaysiakini.
Sementara itu, Tei mengaku tidak bersalah atas empat tuduhan di bawah Seksyen 17(b) kerana memberi rasuah terhadap Datuk Shamsul Iskandar.
Kededua tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda daripada nilai suapan.
Hakim Suzana kemudian menetapkan ikat jamin bagi Datuk Shamsul Iskandar sebanyak RM150,000 dengan dua penjamin.
Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diasaskan Datuk Anwar itu dikehendaki menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan melaporkan diri kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali sebulan.
Datuk Shamsul Iskandar juga diarahkan tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon ikat jamin sebanyak RM300,000 terhadap tertuduh, manakala peguam Datuk Shamsul memohon jumlah yang lebih rendah dengan alasan kesihatannya dan ‘perwatakan baik’ yang ditunjukkannya apabila meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan Datuk Anwar.
Ikat jamin terhadap Tei pula ditetapkan sebanyak RM70,000 dengan dua penjamin. Tei juga dikehendaki menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan melaporkan diri kepada SPRM sebulan sekali, serta tidak mengganggu saksi semasa kes sedang dibicarakan.
Pada 26 November lalu, Datuk Shamsul Iskandar meletak jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri selepas penularan surat sokongan untuk kontraktor yang membida projek pembinaan hospital di Johor pada 2024.
Ia kemudian disusuli dengan pendedahan Tei menerusi rakaman video yang mendakwa Datuk Shamsul Iskandar menerima lebih RM600,000 daripadanya dalam pelbagai bentuk termasuk wang tunai dan pembelian perabot.
Video berkenaan turut mengaitkan Datuk Anwar sebagai individu yang dikatakan memberi ‘lampu hijau’ kepada Tei untuk merancang skandal rasuah lesen perlombongan Sabah, dan Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, dikatakan pernah bertemu Datuk Shamsul Iskandar untuk membantu ‘menyelesaikan’ kes yang melibatkan Tei.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman kini mengambil alih siasatan berhubung klip video berkenaan yang mengandungi dakwaan terhadap Tan Sri Azam.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg