Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah meletak jawatan menyusuli kontroversi berhubung surat sokongan untuk kontraktor yang membida projek hospital pada 2024.
Beliau turut terpalit dakwaan menerima wang lebih RM600,000 ($189,466) daripada seorang ahli perniagaan berkaitan skandal rasuah perlombongan di Sabah.
Dalam kenyataan di media sosialnya pada 25 November, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata beliau meletak jawatan bagi membela diri terhadap tuduhan yang mengaitkannya dengan dakwaan yang boleh menjejas imej Kerajaan Madani.
“Justeru, saya mengambil keputusan untuk mempertahankan diri saya daripada serangan ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya,” katanya.
Peletakan jawatan beliau menambahkan tekanan terhadap pentadbiran Datuk Anwar yang giat menegakkan naratif tadbir urus bersih, dan berlaku hanya beberapa hari sebelum Pilihan Raya Negeri Sabah diadakan pada 29 November.
Datuk Anwar dalam satu hantaran di Facebook pada 26 November mengesahkan beliau menerima peletakan jawatan orang kanannya itu.
Beliau turut menegaskan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas menjalankan siasatan segera tanpa sebarang campur tangan luar.
“Saya menerima peletakan jawatan saudara Shamsul Iskandar dan mengucapkan terima kasih atas khidmat beliau.
“Kerajaan Madani kekal teguh pada prinsip ketelusan dan integriti dan memberi ruang kepada proses siasatan mengikut lunas undang-undang,” katanya.
Sebelum ini, ketika menjawab soalan pembangkang di Parlimen pada 18 November, mengenai tindakan setiausaha politiknya, Datuk Anwar, mengeluarkan surat sokongan dan menegaskan, beliau telah membuat teguran keras terhadap pegawainya itu.
Bagaimanapun, dalam satu kenyataan lain pada 21 November, Datuk Anwar menolak desakan supaya beliau memecat Setiausaha Politik Kanannya itu, dengan alasan Datuk Shamsul Iskandar hanya menulis ‘sila teliti’ dan kontrak berkenaan boleh disemak, tetapi tidak boleh diberi sokongan automatik.
Ketua SPRM, Tan Sri Azam Baki, menegaskan pihaknya akan menjalankan siasatan segera berhubung apa yang disebutnya sebagai tohmahan pemberian rasuah oleh seorang ahli perniagaan terhadap Datuk Shamsul Iskandar.
Beliau berkata SPRM akan memanggil pihak yang membuat tohmahan berkenaan yang dikenali sebagai, Encik Albert Tei, dalam masa terdekat untuk memberi keterangan.
“SPRM juga akan memanggil semua pihak yang terlibat bagi mengumpul bukti-bukti yang diperlukan.
“Sehubungan itu orang ramai diharap tidak membuat sebarang spekulasi mengenai isu ini dan memberi ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan dan mengumpul bukti,” kata SPRM dalam kenyataan pada 26 November.
Bagaimanapun, kenyataan itu menimbulkan kecaman ramai di media sosial berikutan penggunaan perkataan ‘tohmahan’, dengan ramai pihak menuduh SPRM bersikap berat sebelah dalam siasatan terhadap mantan pegawai kanan Datuk Anwar itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg