Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mantan pegawai kanan Anwar lapor polis atas tuduhan fitnah

Nov 27, 2025 | 1:50 PM
Mantan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membuat laporan polis berkait dakwaan fitnah dan tohmahan.
Mantan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membuat laporan polis berkait dakwaan fitnah dan tohmahan. - Foto FACEBOOK SHAMSUL ISKANDAR MD AKIN

Mantan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membuat laporan polis terhadap ahli perniagaan dikenali sebagai Encik Albert Tei, yang didakwa memfitnah dan membuat tohmahan terhadap beliau dan Datuk Anwar.

Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka, berkata tuduhan fitnah itu jelas satu konspirasi jahat untuk memburukkan imej Datuk Anwar dan usaha terancang mahu menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik, menjelang beberapa hari sebelum kiraan undi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, pada 29 November ini.

“Pada 5.05 petang tadi (26 November) saya membuat laporan polis terhadap Albert Tei yang telah membuat tohmahan dan tuduhan fitnah kononnya ada arahan daripada Datuk Anwar untuk membuat rakaman mengenai beberapa ahli politik Sabah. 

“Saya tidak akan membiarkan mana-mana individu menggunakan nama saya atau jawatan saya sebelum ini untuk cuba menjatuhkan kerajaan atau mencemarkan nama baik Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada 26 November.

Fitnah dan tohmahan yang dimaksudkan Datuk Shamsul Iskandar merujuk kepada penyebaran satu video mengaitkan Datuk Anwar kononnya memberi ‘lampu hijau’ untuk Encik Tei, merakam secara rahsia beberapa ahli politik daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang dikaitkan dengan skandal rasuah perlombongan di negeri itu.

Datuk Shamsul pada 25 November telah meletakkan jawatannya sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Datuk Anwar, selepas terpalit dakwaan menerima lebih RM600,000 ($189,466) daripada Encik Tei, selain kontroversi surat sokongan dikeluarkannya untuk kontraktor yang membida projek hospital pada 2024. 

Drama berkaitan dakwaan rasuah membabitkan Datuk Shamsul Iskandar semakin mengundang perhatian, dengan beberapa video yang didedahkan Encik Tei turut mengaitkan penglibatan Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, sehingga mencetuskan desakan agar beliau bercuti sementara siasatan dijalankan.

Video berkenaan memaparkan seorang wanita yang wajahnya dikaburkan, mendakwa Datuk Shamsul Iskandar telah bertemu Tan Sri Azam kononnya bagi ‘menyelesaikan’ kes melibatkan Encik Tei.

Bagaimanapun, dalam satu video terbaru pada 26 November, wanita berkenaan yang memakai penutup muka menafikan menjadi proksi kepada Datuk Shamsul Iskandar dan menjelaskan segala dakwaan dan tohmahan yang dibuat Encik Tei sebagai palsu dan berniat jahat.

Sementara itu, Datuk Anwar ketika berkempen untuk PRN Sabah di Tawau, dilaporkan berkata komitmennya kekal teguh dalam menegakkan integriti, memperkukuh tadbir urus yang baik dan menjadikan kepentingan rakyat sebagai keutamaan tertinggi.

MalayMail melaporkan beliau berkata pendekatan politik yang membangkitkan sentimen perkauman atau menyemarakkan ketegangan antara kaum dan etnik tidak akan membawa sebarang manfaat kepada rakyat atau negara.

“Saya tidak berkempen seperti pihak lain yang cuba mengapi-apikan masyarakat Bugis dengan Melayu, Melayu dengan Cina, atau rakyat Sabah dengan mereka di Semenanjung. Saya tidak mahu terlibat dengan politik seperti itu,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg