KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim, Mohd Hakim Mohd Nor, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 12 Januari atas tuduhan menyalahgunakan dana pertubuhan berjumlah RM207,000 ($65,453) pada 2019.
Dana yang diselewengkan itu merupakan wang derma bantuan misi kemanusiaan ke Myanmar, Yaman, Syria dan Palestin.
Mohd Hakim, 39 tahun, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azrul Darus, lapor Berita Harian Malaysia.
Terduduh, sebagai pengerusi Serantau Muslim, didakwa menyalahgunakan harta milik pertubuhan secara tidak jujur di Maybank Islamic Berhad, Cawangan Kompleks Dayabumi, Jalan Sultan Hishamuddin, Kuala Lumpur, pada 27 Disember 2019.
Kesalahan ini, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda.
Timbalan Pendakwa Raya, Cik Asmaa’ Zamri, mencadangkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin, bersama syarat tambahan. Syarat itu termasuk melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap awal bulan, menyerahkan pasport dan tidak mengganggu saksi.
Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Encik Azizzul Shariman Mat Yusoff, memohon supaya jumlah itu dikurangkan kepada RM10,000. Beliau berhujah cadangan terlalu tinggi sedangkan anak guamnya memberi kerjasama penuh, selain bakal menghadapi pertuduhan lain di Melaka dan Perak pada 13 dan 14 Januari.
Hakim Azrul kemudian membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 Mac ini.
Sebelum ini, media Malaysia melaporkan SPRM membongkar kegiatan penyelewengan dana NGO hasil sumbangan awam, dianggarkan mencecah RM26 juta, melalui Op Serantau.
Lima individu termasuk pengerusi, setiausaha, bendahari, dan pegawai kewangan pertubuhan tersebut ditahan susulan terbongkarnya kegiatan ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg