Topik diikuti
Pergi ke BHkuBelanjawan M’sia 2027 pertingkat pengangkutan, pembangunan dan peluang kerja
Matlamat adalah supaya warga Johor tidak perlu rentas sempadan untuk peluang lebih baik
Belanjawan M’sia 2027 pertingkat pengangkutan, pembangunan dan peluang kerja
JOHOR BAHRU: Persetujuan melaksanakan Sistem Transit Aliran Autonomi Bertingkat (e-ART), pembangunan Nexus Sedenak dan pengukuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) antara langkah Belanjawan 2027 yang dijangka menyokong pertumbuhan ekonomi serta memperbaik pengangkutan awam Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, berkata pengumuman itu perlu diterjemahkan kepada peluang perniagaan tempatan, pekerjaan bergaji lebih tinggi dan kemudahan yang memenuhi keperluan masyarakat.
Menurutnya, Kerajaan Persekutuan bersetuju melaksanakan e-ART sebagai penyelesaian utama kepada kesesakan lalu lintas di Johor Bahru.
“Menjelang pembukaan Sistem Transit Rapid (RTS) Link, laluan dan kekerapan bas berhenti juga akan ditambah, perkhidmatan KTM Komuter dipertingkat, serta Grab Shuttle diperkenalkan di kawasan tumpuan,” katanya.
Dalam kenyataan pada 11 Oktober, Encik Lee berkata pelan induk dan rangka tindakan JS-SEZ dijadual dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia dan Singapura menjelang akhir 2026.
Beliau berkata pelaburan berjumlah RM132 bilion ($41 bilion) direkodkan bagi JS-SEZ sepanjang 2025 hingga Jun 2026.
Nexus Sedenak pula dikenal pasti berpotensi menarik pelaburan RM12 bilion dan mewujudkan 45,000 peluang pekerjaan, disokong naik taraf jalan dari persimpangan Sedenak serta kemudahan hubungan perdagangan dan pelabuhan.
Menurutnya, pasukan petugas khas melalui pendekatan ‘Queen Bee’ akan ditubuhkan untuk menyelaraskan rundingan merentas agensi bagi menarik syarikat peneraju sektor strategik ke JS-SEZ.
Forest City turut diperkukuh sebagai pusat pengurusan kekayaan melalui pengenalan model pejabat berbilang keluarga (MFO), melengkapi insentif pejabat keluarga tunggal (SFO) yang menawarkan kadar cukai sifar ke atas pendapatan layak sehingga 20 tahun.
Encik Lee berkata langkah itu berpotensi menarik kegiatan pengurusan kekayaan, perkhidmatan kewangan profesional dan pelaburan antarabangsa ke Johor.
Bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), Encik Lee berkata langkah nasional seperti pengurangan cukai pendapatan, kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan RM57 bilion serta insentif pelaburan teknologi dapat membantu syarikat Johor meningkatkan daya saing.
“Kita mahu lebih banyak PMKS tempatan bukan sekadar mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi, tetapi menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan syarikat multinasional yang melabur di Johor, khususnya dalam JS-SEZ,” katanya.
Beliau turut menyambut peruntukan nasional RM8 bilion bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), termasuk RM3 bilion melalui HRD Corp untuk menyediakan tiga juta peluang latihan kemahiran.
Menurutnya, Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC), institusi pendidikan dan pemain industri perlu memastikan latihan memenuhi permintaan sektor semikonduktor, pembuatan termaju, pusat data, ekonomi digital, logistik serta tenaga hijau.
“Matlamat kita jelas; anak Johor bukan sahaja mendapat pekerjaan, tetapi memperoleh pekerjaan berkualiti dengan gaji yang lebih tinggi, tanpa perlu bergantung kepada peluang pekerjaan di luar negeri atau merentas sempadan,” katanya.
Bagaimanapun, Encik Lee berkata kerajaan negeri masih perlu meneruskan perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan mengenai beberapa keperluan strategik.
Antaranya ialah pembangunan Lebuhraya Pantai Barat (WCE), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 4 (LPT4), pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan ke arah Tangkak serta penambahan kapasiti bekalan air, elektrik dan kemudahan kesihatan.