Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor mahu manfaatkan JS-SEZ untuk perkembang industri kreatif
Gabungan prasarana dan bakat tempatan dengan rangkaian S’pura buka laluan ke pasaran antarabangsa
Johor mahu manfaatkan JS-SEZ untuk perkembang industri kreatif
JOHOR BAHRU: Johor mahu memanfaatkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) untuk mengembangkan industri kreatif, dengan menghubungkan prasarana dan bakat negeri itu kepada rangkaian perniagaan antarabangsa Singapura serta pasaran Asia Tenggara.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, berkata negeri itu berpotensi memainkan peranan lebih besar daripada sekadar menjadi lokasi penggambaran.
Menurutnya, Johor boleh menjadi pusat penciptaan idea, pembangunan harta intelek, penggunaan teknologi, penghasilan kandungan dan pembangunan bakat, selain membantu perniagaan kreatif menembusi pasaran serantau dan antarabangsa.
“Kita boleh menghubungkan prasarana dan bakat Johor dengan hubungan antarabangsa serta rangkaian perniagaan Singapura, di samping pasaran Asia Tenggara yang lebih luas.
“Dengan kata lain, Johor boleh menjadi tempat kreativiti bertemu teknologi, teknologi bertemu pengeluaran, dan pengeluaran bertemu dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan pada 1 Oktober sempena KL20 @ Johor 2026 – The Orange Economy Chapter di Iskandar Malaysia Studios.
Encik Lee berkata Johor merekodkan pelaburan diluluskan sebanyak RM110 bilion pada 2025, tertinggi dalam kalangan negeri di Malaysia, dengan 85.5 peratus daripadanya berada dalam kawasan JS-SEZ.
Namun, katanya, fasa pembangunan seterusnya perlu memberikan perhatian kepada nilai yang dapat dihasilkan daripada pelaburan tersebut.
“Persoalannya bukan sekadar berapa banyak pelaburan yang boleh kita tarik. Persoalan lebih penting ialah apakah nilai yang boleh kita cipta daripada pelaburan itu?” katanya.
Beliau berkata prasarana digital, kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan, pusat data dan perkhidmatan digital sedang mengubah cara ekonomi berfungsi.
Bagaimanapun, keupayaan teknologi itu perlu diterjemahkan kepada pengalaman, produk, harta intelek dan perniagaan melalui kreativiti.
Menurutnya, bidang seperti perfileman, animasi, permainan digital, kesan visual, produksi maya dan kandungan digital semakin menjadi sebahagian daripada ekonomi digital.
“Kandungan bukan lagi sekadar produk budaya; ia merupakan aset ekonomi, pemacu teknologi dan inovasi serta laluan untuk bakat dan perniagaan kreatif mencapai pasaran global,” katanya.
Encik Lee berkata JS-SEZ, yang meliputi kira-kira 357,000 hektar di selatan Johor, menyediakan wadah penting untuk menjayakan usaha tersebut.
Malaysia dan Singapura menyasarkan untuk menarik 100 projek dalam tempoh 10 tahun serta mewujudkan 20,000 pekerjaan berkemahiran menerusi zon itu, yang merangkumi 11 sektor tumpuan.
Beliau menambah bahawa kepentingan JS-SEZ bukan sekadar menarik pelaburan, malah membentuk ekosistem ekonomi yang membolehkan modal, teknologi, bakat, perniagaan dan pasaran saling berhubung dengan lebih cekap.
Beliau berharap program KL20 @ Johor dapat menghasilkan kerjasama serta peluang baru untuk Johor, Malaysia dan rantau ini.