KUALA LUMPUR: Mangsa banjir, kebakaran dan tanah runtuh di Sabah meningkat kepada lebih 2,500 mangsa, dengan enam daerah diisytiharkan kawasan bencana oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).
Laporan Situasi Bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berkata banjir bertambah teruk, dengan keseluruhan mangsa pada 16 September meningkat kepada 2,452 orang daripada 652 keluarga yang ditempatkan di 18 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Katanya, daerah Penampang mencatat wilayah yang paling terkesan dengan 910 mangsa, manakala Membakut seramai 611 mangsa dan Putatan 456 mangsa.
Nadma menyatakan trend bencana banjir secara umum menunjukkan peningkatan di sebahagian besar daerah, kecuali Membakut yang keadaannya tidak berubah.
“Selain banjir, kebakaran berskala besar yang berlaku di Tawau menyebabkan 59 mangsa daripada 11 keluarga terpaksa dipindahkan tetapi keadaan tetap stabil.
Di Papar, tanah runtuh berlaku terhadap lima keluarga membabitkan 21 mangsa.
“Secara keseluruhan, jumlah mangsa bencana di Sabah mencapai 2,533 orang daripada 668 keluarga, dengan 20 Pusat Pemindahan Sementara diaktifkan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Nadma berkata enam daerah yang diisytiharkan sebagai kawasan bencana oleh JPBD adalah Beaufort (banjir); Penampang (banjir, tanah runtuh); Tawau (kebakaran); Papar (banjir, tanah runtuh); Membakut (banjir) dan Putatan (banjir).
Kata agensi itu, berdasarkan laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM), 13 kematian direkodkan di Sabah setakat ini akibat kejadian tanah runtuh, iaitu tujuh di Kota Kinabalu; lima di Papar dan satu di Penampang.
Tambahnya, keadaan cuaca melalui imej radar Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mendapati cuaca adalah baik di Sabah setakat ini.
Sementara itu, Sabah Electricity Sdn Bhd pada 17 September mengesahkan seorang kakitangannya dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika bertugas di sebuah kampung di Keningau pada malam 16 September.
Sabah Electricity dalam satu kenyataan pada 17 September berkata pasukan penyelamat bersama pihak berkuasa berkaitan telah digerakkan ke lokasi dan usaha pencarian sedang giat dijalankan.
“Keutamaan kami ketika ini ialah keselamatan serta kebajikan kakitangan terbabit, di samping memberi sokongan penuh kepada keluarga mangsa.
“Sabah Electricity akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dalam operasi ini, dan memaklumkan perkembangan lanjut dari semasa ke semasa,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengarahkan pemasangan jambatan Bailey dilakukan segera di Sungai Kaiduan, Papar, yang terputus hubungan selepas jambatan di kawasan itu runtuh akibat banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat itu meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Rejimen Askar Jurutera Diraja, yang memiliki kepakaran khusus dalam pembinaan jambatan Bailey, supaya melaksanakan pemasangan di kawasan terjejas dengan segera.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg