KOTA KINABALU (Sabah): Mayat seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun menjadi mangsa terakhir kejadian tanah runtuh dan banjir buruk yang ditemui di Sabah, menjadikan keseluruhan setakat ini 14 korban direkodkan akibat tragedi itu di negeri berkenaan sejak 12 September.
Mayat mangsa, Kemiey Asphereynda Benny, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) selepas 18 jam operasi pencarian iaitu pada 8.45 malam 15 September, sebelum mayatnya berjaya dikeluarkan pada 1.48 pagi 16 September.
Kemiey menyusuli pemergian ibunya, Cik Wong Moi Ling, 34 tahun, dan adik lelakinya, Christen Kell Benny, enam tahun, yang ditemui lebih awal pada 4.20 petang dan 4.25 petang, apabila kediaman mereka ditimpa tanah runtuh di Kampung Cenderakasih, Kolombong, Kota Kinabalu, pada 15 September.
Harian Metro melaporkan bencana tanah runtuh yang melanda Sabah sejak 12 September telah meragut 12 nyawa termasuk lima kanak-kanak setakat ini, dengan 11 kematian dilaporkan pada 15 September dan satu kematian pada 12 September.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Penolong Pesuruhjaya Kasim Muda, mengesahkan tujuh daripada mangsa termasuk empat kanak-kanak ditemukan meninggal dunia selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Cenderakasih, Kolombong, Inanam, Kota Kinabalu, Sabah, pada 9.15 pagi 15 September.
Di Papar, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah, Encik Mohd Pisar Aziz, memaklumkan dua mangsa terdiri daripada wanita berusia 38 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditemukan maut selepas tanah runtuh menghempap rumah mereka di Kampung Mook.
Malaysiakini pula melaporkan seorang lelaki berusia 20 tahun mati lemas ketika menangkap ikan di Kuala Penyu, satu-satunya kejadian maut yang tidak dikaitkan dengan tanah runtuh pada 15 September, manakala seorang lelaki berusia 97 tahun maut apabila kediamannya di Kampung Sarapung, Penampang, tertimbus pada 11 September.
Menurut Ahli Parlimen Papar (Sabah), Datuk Armizan Mohd Ali, semua mangsa yang terjejas dengan tragedi tanah runtuh membabitkan penduduk Kampung Mook dan Kampung Marahang Tuntul di Papar akan diberikan penempatan sementara untuk berlindung.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, juga telah meluluskan peruntukan segera sebanyak RM10 juta ($3.04 juta) bagi disalurkan terus kepada mangsa banjir di Sabah, melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Dana itu adalah tambahan kepada kira-kira RM11 juta yang disalurkan melalui kerajaan Sabah.
Datuk Anwar juga mengarahkan jentera Kerajaan Persekutuan digerakkan segera bagi membantu rakyat terjejas agar bantuan sampai kepada mangsa tanpa gangguan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, turut mengumumkan pembatalan sambutan Hari Malaysia yang dijadualkan pada 16 September di Padang Merdeka di Kota Kinabalu.
Beliau berkata sumber negeri mesti ditujukan kepada operasi menyelamat dan bantuan mangsa bencana.
Malah, menurut Berita Harian Malaysia, Kerajaan Sabah menyalurkan sumbangan berbentuk Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 dan Bantuan Wang Ihsan (Kematian) sebanyak RM10,000 kepada rakyat yang terkesan akibat krisis banjir di Sabah.
Selain Sabah, tiga lagi negeri turut mula dilanda banjir iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Perak, dengan Sabah merekodkan jumlah mangsa tertinggi setakat 3 petang 16 September iaitu hampir 2,500 orang.
Di Perak, jumlah mangsa di daerah Mualim meningkat kepada 397 orang daripada 91 keluarga pada pagi 16 September.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg