Topik diikuti
Pergi ke BHkuBelanjawan Bayangan 2027 Bersama: Cadang GST 5%, bantuan bersasar
GST lebih sistematik berbanding SST, hasil GDP dijangka naik, skim bantuan lama bubar
Belanjawan Bayangan 2027 Bersama: Cadang GST 5%, bantuan bersasar
Parti Bersama Malaysia (Bersama) membentangkan Belanjawan Bayangan 2027, sehari sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijadual membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, pada petang 9 Oktober.
Antara yang menarik perhatian dalam pembentangan yang dinamakan Belanjawan Bayangan Kancil oleh pemimpinnya, Datuk Seri Rafizi Ramli, pada malam 7 Oktober, ialah cadangan untuk memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), selain menggantikan beberapa skim bantuan tunai dengan bantuan bulanan bersasar.
Berdasarkan dokumen Belanjawan Bayangan 2027 di laman web Bersama, parti itu mencadangkan pelaksanaan semula GST, menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dianggap kurang cekap dan mempunyai asas cukai yang sempit.
Menurut Bersama, GST menyediakan mekanisme yang lebih sistematik untuk menuntut kembali cukai input dan seterusnya mengurangkan kesan cukai bertindih atau berantai (tax cascading).
“Belanjawan Bayangan ini mencadangkan supaya sistem SST yang kini semakin luas dan kompleks, digantikan dengan GST.
“Ia bukan semata-mata sebagai kaedah untuk meningkatkan hasil kerajaan, tetapi sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula hubungan skal dan kontrak sosial antara kerajaan dengan rakyat.
“Reka bentuk SST tidak membenarkan tuntutan semula kredit cukai input, menyebabkan kesan cukai berantai di sepanjang rantaian bekalan serta kehilangan hasil kerajaan.
“Keadaan ini turut meningkatkan tekanan fiskal apabila keperluan perbelanjaan awam meningkat pada masa hadapan, sekali gus menjejaskan kemampanan fiskal jangka panjang,” menurut Datuk Rafizi dalam dokumen itu.
Menurut Belanjawan Bayangan Bersama, GST akan diperkenalkan semula pada kadar 5 peratus, lebih rendah daripada kadar minimum SST semasa sebanyak 6 peratus.
Jelasnya, kadar GST itu akan dihadkan pada 5 peratus selama 10 tahun bagi memberikan kepastian kepada rakyat dan perniagaan; serta mengekang kesan GST kepada inflasi di masa hadapan.
“Berdasarkan anggaran Bersama, GST pada kadar 5 peratus boleh menjana sekitar RM76.1 bilion ($23.88 bilion), atau 3.3 peratus daripada Hasil Dalam Negara Kasar (GDP), berbanding RM59.4 bilion yang dijangka dikutip melalui SST pada 2026.
“Ini menghasilkan tambahan hasil sekitar RM16.7 bilion,” menurut dokumen Belanjawan Bayangan itu.
GST pernah dilaksanakan di Malaysia ketika pentadbiran mantan Perdana Menteri dari Umno/Barisan Nasional, Encik Najib Tun Razak, pada April 2015.
Ia kemudian dimansuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan mantan Perdana Menteri kali kedua, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada 2018.
Pada Jun 2022, Majlis Presiden (PH) yang turut dianggotai Perdana Menteri Malaysia sekarang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk melaksanakan semula GST.
Datuk Rafizi yang juga mantan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) - satu komponen dalam PH - sendiri pernah menentang pelaksanaan GST ketika menjadi pembangkang.
Bagaimanapun, ketika PH kembali menjadi kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022, Datuk Rafizi yang dilantik sebagai Menteri Ekonomi ketika itu berkata kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk memperkenalkan semula GST.
Namun akan mengutamakan strategi untuk meluaskan sumber hasil negara termasuk fokus membangunkan Cukai Keuntungan Modal, yang dijadualkan dilaksanakan pada 2024.
Dalam dokumen itu, Datuk Rafizi berkata Belanjawan Bayangan itu memberi kontras ketara di antara pendekatan yang objektif dan kritis untuk melindungi kesejahteraan rakyat, berbanding sambungan kepada kaedah ekonomi sedia ada yang terus dikekalkan walaupun kerajaan silih berganti.
Belanjawan Bayangan itu turut mencadangkan skim Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan, digantikan dengan pemberian RM200 sebulan kepada 60 peratus rakyat berpendapatan paling rendah (B60).
Parti itu turut mencadangkan program bantuan bahan api bersubsidi, Budi Madani digantikan dengan harga pasaran yang diapungkan sepenuhnya, manakala rakyat berpendapatan rendah dan sederhana akan diberi pampasan melalui pindahan tunai langsung secara bulanan.
Di bawah Budi Madani, rakyat Malaysia yang layak membayar harga bersubsidi sebanyak RM1.99 seliter bagi petrol RON95 dan RM2.10 seliter bagi diesel, tertakluk kepada kuota bulanan.
“Pendekatan ini mengembalikan isyarat harga pasaran sambil mengalihkan bantuan daripada penggunaan bahan api kepada keperluan isi rumah.
“Isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan sederhana (M40) akan menerima bantuan tunai yang lebih besar apabila harga bahan api dunia meningkat, manakala isi rumah berpendapatan tinggi (T20) membayar harga pasaran,” katanya.
Menurut Bersama, dengan andaian harga minyak mentah Brent sebanyak AS$90 setong, Bersama menganggarkan sistem subsidi bahan api sedia ada boleh menelan belanja kerajaan melebihi RM40 bilion setahun.
“Menggantikannya dengan Elaun Bahan Api dianggarkan menghasilkan penjimatan fiskal sekitar RM19 bilion setahun. Kira-kira 6.5 juta isi rumah Malaysia, atau 80 peratus daripada keseluruhan isi rumah, dijangka mendapat manfaat daripada skim ini,” katanya.
Bersama turut mencadangkan setiap kanak-kanak warga Malaysia berumur di bawah 18 tahun akan menerima RM50 sebulan, terhad kepada lima anak bagi setiap isi rumah, bersamaan manfaat maksimum RM250 sebulan atau RM3,000 setahun bagi setiap isi rumah.
Jelasnya, ia sebagai satu langkah mengurangkan kos langsung ibu bapa untuk membesarkan anak, ketika masalah kadar kesuburan Malaysia menurun dengan mendadak, daripada 4.9 orang anak bagi setiap wanita pada 1970 kepada 1.6 pada 2024.