Topik diikuti
Pergi ke BHkuBersama nafi tanding untuk pecah undi, yakin mampu tawan Bukit Batu
Bersama nafi tanding untuk pecah undi, yakin mampu tawan Bukit Batu
Meski ditubuh kira-kira 40 hari lalu, tekad bawa perubahan dalam landskap politik negara
Bersama nafi tanding untuk pecah undi, yakin mampu tawan Bukit Batu
Parti Bersama Malaysia (Bersama) menafikan dakwaan penyertaan parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hanya bertujuan untuk memecahkan undi.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Interim Parti Bersama Johor, Encik S. Gopalakrishnan, berkata penyertaan parti yang baru ditubuhkan itu bertujuan menawarkan pilihan baru kepada pengundi berdasarkan kebolehpercayaan calon serta agenda pembaharuan yang diperjuangkan.
“Kami bukan bertanding untuk memecahkan undi. Kami mahu rakyat menilai kebolehpercayaan setiap calon yang diketengahkan.
“Calon kami terdiri daripada golongan muda, berpendidikan, bertenaga dan mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat setempat,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa berkempen bagi membantu anaknya, Cik Tamili Gopalakrishnan, calon Bersama bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu.
Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tiram itu berkata walaupun Bersama baru ditubuhkan kira-kira 40 hari lalu, parti berkenaan berani menyertai PRN Johor bagi membuktikan kesungguhannya untuk membawa perubahan dalam landskap politik negara.
Menurut beliau, Bersama menyasarkan kemenangan beberapa kerusi, namun menganggap penyertaan kali pertama itu juga penting bagi memperkenalkan perjuangan parti kepada rakyat.
“Kami yakin mampu memenangi beberapa kerusi.
“Namun, yang lebih penting ialah rakyat mengetahui kami wujud dan mempunyai agenda yang jelas untuk masa depan negara,” katanya.
Encik Gopalakrishnan berkata antara tumpuan utama Bersama ialah memperkukuh tadbir urus yang baik, meningkatkan ketelusan pentadbiran serta membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Beliau berkata parti itu turut komited melaksanakan pembaharuan dalam sistem pentadbiran supaya segala janji kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Kami mahu membawa perubahan dalam pentadbiran di semua peringkat.
“Malaysia mempunyai sumber yang mencukupi untuk menjadi antara negara paling maju di rantau ini, tetapi kami masih berdepan cabaran seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa dan beban hutang yang perlu ditangani,” katanya.
Menurut beliau, Bersama juga mahu melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang mampu membawa pendekatan politik baru berteraskan integriti dan kebertanggungjawapan.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata parti itu yakin calon Bersama di DUN Bukit Batu berpeluang mencipta kejayaan berdasarkan maklum balas positif yang diterima sepanjang tempoh berkempen.
“Kami yakin mampu menawan Bukit Batu berdasarkan sambutan dan maklum balas yang diterima daripada pengundi sehingga hari ini,” katanya.
Kawasan DUN Bukit Batu yang merupakan antara ‘kerusi panas’ menyaksikan pertandingan lima penjuru dalam PRN Johor ke-16.
Ia menyaksikan pertandingan antara calon Pakatan Harapan (PH), Encik Arthur Chiong Sen Sern; calon Barisan Nasional (BN), Encik R K Kumaran; calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Encik M Premanand; calon Bersama, Cik Tamili; dan calon Bebas, Datuk Kamaruzaman Ali.
