Topik diikuti
Pergi ke BHkuRafizi: Calon ‘orang biasa’ lebih faham denyut nadi rakyat
Rafizi: Calon ‘orang biasa’ lebih faham denyut nadi rakyat
Rakyat digesa nilai pemimpin berdasarkan kehidupan, pengalaman mereka, bukan sekadar kehebatan pidato
Rafizi: Calon ‘orang biasa’ lebih faham denyut nadi rakyat
JOHOR BAHRU: Presiden Parti Bersama Malaysia, Datuk Seri Rafizi Ramli mempertahankan keputusan parti itu menampilkan calon dalam kalangan ‘orang biasa’, meskipun mereka tidak mempunyai pengalaman dalam politik.
Beliau berkata pendekatan itu disengajakan bagi memastikan wakil rakyat benar-benar memahami denyut nadi masyarakat dan bukannya sekadar petah berucap di pentas politik.
“Memang saya nak buat begitu. Saya nak calon-calon ini bercakap tentang perkara yang dekat dengan mereka sebab mereka orang biasa.
“Kita sudah melalui hampir 30 tahun politik yang diwarnai oleh orang-orang yang hebat bercakap.
“Mereka boleh yakinkan kita apa sahaja, tetapi akhirnya kehidupan mereka jauh berbeza daripada rakyat biasa,” katanya ketika berucap pada Ceramah Jelajah Trak Kancil di Taman Pelangi, di sini, malam tadi.
Datuk Rafizi berkata rakyat kini perlu menilai seseorang pemimpin berdasarkan kehidupan dan pengalaman mereka, bukannya semata-mata kehebatan berpidato.
“Wakil rakyat yang hidup seperti rakyat biasa lebih memahami masalah sebenar masyarakat kerana mereka sendiri berdepan cabaran yang sama,” katanya, lapor MalaysiaGazette.
Menurut beliau, calon Bersama juga diberikan kebebasan menyuarakan pandangan masing-masing tanpa skrip walaupun ada yang pertama kali berucap di hadapan orang ramai.
“Memang ada orang hantar mesej kepada saya kata calon kita cakap macam-macam ikut suka dia. Memang saya nak begitu.
“Mereka bukan orang politik. Mereka bercakap daripada hati. Mereka tak pandai pusing cerita,” katanya.
Sementara itu, Datuk Rafizi menyifatkan keputusan parti yang baru berusia kira-kira 40 hari untuk bertanding dalam 15 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai sesuatu yang luar biasa.
Beliau berkata ramai menyifatkan keputusan itu sebagai tindakan ‘gila’, namun yakin pencapaian Bersama dalam tempoh singkat membuktikan parti berkenaan mempunyai potensi besar.
“Kita parti yang baru 40 hari, tetapi berjaya mengemukakan 15 calon dan semuanya diterima untuk bertanding.
“Bagi saya itu satu kelegaan kerana proses pencalonan bukan mudah. Sedikit kesilapan tanda tangan atau pencadang tidak hadir pun boleh menyebabkan calon ditolak,” katanya
Datuk Rafizi berkata parti itu juga berjaya mengendalikan kempen walaupun berdepan kekangan kewangan dan jentera yang jauh lebih kecil berbanding parti-parti lama.
“Kita tak boleh bandingkan parti umur 40 hari dengan parti umur 70 tahun.
“Tetapi kalau dalam 40 hari kita sudah boleh berkempen seperti sebuah parti nasional, bayangkan apa yang boleh kita lakukan jika diberi empat tahun,” katanya.
Beliau turut menyeru pengundi memberi peluang kepada Bersama untuk membuktikan kemampuan parti itu sebagai alternatif baharu dalam landskap politik negara.
Katanya lagi, Bersama diwujudkan sebagai platform politik progresif yang mahu membawa pendekatan baharu tanpa terikat kepada politik lama berasaskan kaum atau retorik semata-mata.
