Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pilihan raya Sabah: Kemelut Bersatu tidak jejas operasi PN

Nov 3, 2025 | 3:01 PM
PAS, PN, Sabah, Bersatu
Timbalan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (depan, tengah) bersama Pengarah Pilihan Raya PAS Sabah, Tan Sri Annuar Musa (kiri), dan Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan (kanan) pada pelancaran jentera Perikatan Nasional (PN) DUN Karambunai di Sepanggar, Sabah, sempena Pilihan Raya Negeri ke-17 Sabah pada akhir November i2025. - Foto NSTP

KOTA KINABALU (Sabah): Di sebalik kemelut dalaman yang melanda parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN), blok politik gabungan pembangkang itu menetapkan sasaran tinggi bertanding sehingga 40 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah, 29 November ini.

Jumlah kerusi ditandingi itu dijangka meningkat daripada jangkaan awal untuk PN bertanding di 36 kerusi, yang diumumkan lebih awal sebelum ini.

Ketika ini umum mengetahui, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) satu daripada parti komponen dalam PN sedang berdepan krisis dalaman yang agak serius melibatkan kem Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Timbalan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata jumlah sebenar kerusi ditandingi semua parti komponen PN dan senarai calon yang bakal bertanding atas tiket gabungan itu akan diumumkan pada 11 November.

Menurutnya, tiga parti komponen PN iaitu PAS, Bersatu dan Gerakan kini dalam proses memuktamadkan kerusi dan senarai calon masing-masing.

“Kita masih lagi dalam proses memuktamadkan kerusi sebelum pengisytiharan calon dan pelancaran jentera seluruh Sabah yang akan dibuat pada 11 November ini.

“Semua nama calon kita teliti sebelum diangkat untuk kita sahkan dan kalau dalam PAS, kita ada Majlis Syura yang akan meneliti semua calon kita dalam PN.

“Kita ada akujanji kepada semua calon yang akan dibuat sebelum watikah diberi kepada calon pada 11 November nanti.

“Jadi soal kerusi, soal siapa calon, kita akan putuskan pada 11 November nanti,” katanya pada sidang media selepas melancarkan jentera PN bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, di Taman Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah, pada 1 November, lapor Berita Harian Malaysia.

Tuan Ibrahim berkata kemelut berlaku dalam Bersatu ketika ini tidak menjejas operasi jentera PN menghadapi PRN17.

Beliau yang juga Pengerusi PN Pahang berkata masalah itu hanya membabitkan kepimpinan pusat Bersatu di Semenanjung yang perlu diselesaikan parti itu di sana tanpa membabitkan Sabah.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata setakat ini PN hanya menumpukan kerjasama dalam kalangan parti komponennya sebelum melihat kerjasama dengan parti lain selepas keputusan PRN17 diketahui.

“Apa yang penting sekarang kita nak menang atas tiket PN, soal gabungan dan sebagainya buat masa ini kita tak ada dalam kepala lagi. Kita full-force (kerah habis-habisan) dulu tenaga kita untuk PN,” katanya.

Mengenai sentimen ‘Sabah for Sabahan’ yang dibawa parti tempatan Sabah, Tuan Ibrahim menyifatkan cogan kata itu sebagai perkara biasa, sama seperti slogan Bangsa Johor di Johor dan Gagasan Terengganu Kita di Terengganu.

Menurutnya, sentimen itu tidak akan menjejas sokongan rakyat Sabah kepada parti nasional, khususnya PN, sejajar kehadiran parti nasional di negeri ini yang sudah lama berlaku.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg