Topik diikuti
Pergi ke BHkuBersatu nafi akan sertai PH, dakwaan disifatkan tidak masuk akal
Bersatu nafi akan sertai PH, dakwaan disifatkan tidak masuk akal
Bersatu nafi akan sertai PH, dakwaan disifatkan tidak masuk akal
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan dakwaan parti itu akan menyertai Pakatan Harapan (PH) diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, sebagai perantara.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, menegaskan tidak masuk akal untuk kerjasama itu terjadi memandangkan Bersatu adalah antara yang meruntuhkan kerajaan PH yang hanya sempat memerintah selama 22 bulan bermula Mei 2018 hingga Februari 2020.
Beliau berkata kerjasama membabitkan Bersatu dengan PH juga tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat parti itu sebelum ini.
“(Dakwaan itu) tidak benar. Tidak pernah dibincangkan dalam Biro Politik, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu atau mana-mana perbincangan tidak rasmi di dalam parti.
“Jika ada sebarang usaha ke arah itu, sudah tentu ada tanda-tanda atau bayangan gerakan atau operasi ke arah itu.
“Setakat ini tidak ada bunyi-bunyi ke arah itu,” katanya sambil merujuk kepada dakwaan gerakan akuan bersumpah (SD), ‘Langkah Bangkok’ serta pelbagai bisik-bisik politik yang pernah dikaitkan dengan kem tertentu dalam parti itu sebelum ini.
“Lagipun dahulu Bersatu adalah antara yang meruntuhkan kerajaan PH 22 bulan, menolak (Datuk) Anwar daripada jadi Perdana Menteri dan yang menyingkirkan DAP (Parti Tindakan Demokratik) daripada kerajaan. Tidak masuk akal,” katanya dalam satu kenyataan mengulas dakwaan Bersatu akan menyertai PH melalui Datuk Mohamed Azmin.
Datuk Mohamed Azmin adalah mantan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dipimpin Datuk Anwar, yang dipecat pada 24 Februari 2020, berikutan satu tindakan yang disifatkan pengkhianatan terbuka kepada PKR dan mampu menjejaskan kestabilan PH.
Beliau turut dikaitkan sebagai antara yang terlibat dengan Langkah Sheraton, yang menyaksikan kejatuhan kerajaan PH dan peralihan jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad yang meletak jawatan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mengulas lanjut, Tun Faisal turut mendakwa Bersatu tidak akan menjadi seperti ‘UmDAP’, istilah yang digunakan merujuk kepada kerjasama antara Umno dan DAP (Parti Tindakan Demokratik) dalam Kerajaan perpaduan PH-BN (Barisan Nasional).
Dalam pada itu, Tun Faisal turut menafikan tindakan disiplin yang diambil terhadap beberapa pemimpin dan wakil rakyat Bersatu sebelum ini mempunyai kaitan dengan usaha menaikkan Datuk Mohamed Azmin sebagai pemimpin utama parti.
Sebaliknya, beliau berkata tindakan tersebut dibuat oleh Lembaga Disiplin berdasarkan peruntukan dalam perlembagaan parti terhadap mereka yang didakwa melanggar disiplin, mengkhianati parti dan mengadakan rundingan tanpa mandat dengan pihak luar.
Katanya, bukan semua yang dikenakan tindakan dipecat kerana ada antaranya hanya digantung atau diberikan amaran.
Beliau juga menegaskan Datuk Mohamed Azmin tidak melanggar perlembagaan dan kod etika parti, selain tidak terbabit dalam rundingan tanpa mandat dengan parti lawan atau pihak luar.
“Belum ada cerita kem Zahid (Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) atau kem Anwar (Pengerusi PH) mahu menjadikan beliau Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri seperti yang berlaku ke atas Hamzah (Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dipecat Bersatu).
“Belum ada penyokong-penyokong Datuk Mohamed Azmin yang mengumpul SD dan membuat kenyataan mahu singkir Presiden kerana beliau disokong pihak musuh atau pihak luar seperti yang dilakukan oleh kem Hamzah.
“Dari segi prestasi, Datuk Mohamed Azmin sebagai Setiausaha Agung Bersatu malah Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor jauh lebih cemerlang berbanding Datuk Hamzah.
“Dari segi pengalaman, Datuk Mohamed Azmin jauh lebih banyak pengalaman pentadbiran dalam kerajaan pusat dan negeri dan mempunyai rekod pencapaian baik di Kementerian yang pernah diketuainya dan pencapaian hebat semasa menjadi Menteri Besar Selangor,” katanya.
