Ketegangan antara dua parti komponen utama dalam Perikatan Nasional (PN) kian memuncak apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membidas beberapa tuduhan dilemparkan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Tan Sri Abdul Hadi Awang, sebelum ini.

Biro Politik Bersatu dalam satu kenyataan panjang berkata isu-isu terbabit sepatutnya dibawa ke meja musyawarah antara kedua-dua parti dan diselesaikan secara dalaman dengan penuh harmoni.

Dalam kenyataan pada 24 Mei itu, Bersatu melahirkan rasa kesal terhadap tuduhan dilemparkan oleh Tan Sri Abdul Hadi dan menjawab beberapa tuduhan, termasuk mengenai isu penolakan kemasukan parti lain ke dalam PN; pertukaran Menteri Besar (MB) Perlis dan ketiadaan jentera Bersatu.

Bersatu turut menyentuh isu tindakan disiplin terhadap ahli Bersatu dan krisis politik di Negeri Sembilan.

Biro Politik Bersatu menyangkal dakwaan bahawa parti itu menolak penyatuan ummah dengan tidak menyokong permohonan parti lain untuk menjadi parti anggota PN.

Ini merujuk kepada penolakan PN terhadap gerakan diterajui mantan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk menyertai blok pembangkang itu, berikutan bantahan keras Bersatu ketika Mesyuarat Majlis Tertinggi PN (MTPN) pada 16 Mei.

“Pendirian Bersatu ialah PN boleh mengadakan kerjasama pilihan raya terlebih dahulu dengan parti-parti ini dan kemasukan mereka sebagai parti anggota PN boleh dipertimbangkan kemudian.

“Walaupun pelbagai pandangan dikemukakan dalam mesyuarat MT PN, keputusan ini dicapai secara bersama dan dipersetujui oleh semua ahli mesyuarat demi kepentingan strategik dan kestabilan PN secara keseluruhannya,” kata kenyataan itu.

Laporan media Malaysia pada 25 Mei memetik sumber yang berkata PAS menerima laporan bahawa akar umbi Bersatu cenderung menyokong gerakan Reset dipimpin Datuk Hamzah.

Sebelum ini Tan Sri Abdul Hadi dilaporkan berkata PAS akan menilai semula kerjasama dengan Bersatu, selepas beberapa tindakan parti itu didakwa menjejaskan semangat kesepaduan dalam PN.

Biro Politik Bersatu turut menyangkal dakwaan parti itu mengkhianati PAS dalam isu pertukaran MB Perlis daripada PAS kepada Bersatu pada Disember 2025 dan menolak tuduhan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bersatu menarik sokongan daripada MB Perlis.

“Tuduhan Bersatu khianat adalah melampau kerana apa yang dilakukan parti adalah menjunjung perintah Tuanku Raja Perlis. Bersatu hanya menyerahkan kepada kebijaksanaan Tuanku Raja Perlis untuk menyelesaikan kemelut politik Perlis ketika itu,” kata Bersatu.

Berhubung dakwaan Bersatu hanya memperbanyakkan calon tetapi tiada jentera, Bersatu sentiasa berusaha meningkatkan kekuatan di peringkat akar umbi, termasuk menerusi pendaftaran keahlian baru.

“Selain jentera dan parti, kekuatan Bersatu dalam semua pilihan raya adalah jenama Bersatu yang menjadi daya tarikan rakyat Malaysia, selain pengalaman dan rekod pemimpin Bersatu yang telah teruji dan terbukti berjaya mengurus dan mentadbir negara dengan baik.

“Wajah sederhana, inklusif, progresif dan dasar prihatin rakyat serta pengalaman yang wibawa telah melonjakkan sokongan pengundi kepada calon Bersatu dan parti lain dalam PN,” kata kenyataan itu.

Mengulas dakwaan Bersatu mengganggu kelancaran pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah dan Kelantan dengan mencadangkan rombakan pertukaran ahli Exco Kerajaan Negeri dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan yang dipecat daripada Bersatu atas isu disiplin, Biro Politik berkata setiap parti politik mempunyai disiplin yang perlu dipatuhi ahlinya.

“Lembaga Disiplin mengambil tindakan terhadap ahli parti yang terlibat berasaskan bukti dan aduan yang diterima oleh Lembaga Disiplin yang kemudiannya telah mendengar, menyiasat dan membuat keputusan berdasarkan Fasal 22.5 Perlembagaan Parti.

“Ini adalah isu disiplin yang mesti dipatuhi oleh semua ahli parti.

“Adalah menjadi amalan biasa rombakan dibuat apabila terdapat ahli parti yang memegang jawatan dalam kerajaan diambil tindakan disiplin oleh partinya,” kata Bersatu lagi.

Oleh itu tegas Bersatu, PAS sebagai parti anggota dalam PN sewajarnya menghormati dan tidak mencampuri urusan dalaman parti anggota yang lain berkaitan hal disiplin parti dan tindakan-tindakan yang diambil untuk menstabilkan parti.

“Bersatu mendukung semua keputusan MTPN yang dibuat dalam semangat PN yang saling menghormati dan meraikan perbezaan serta berjaya mencapai konsensus demi kesatuan dan kekuatan PN yang dibina sejak enam tahun yang lalu.

“Adalah tidak wajar keputusan-keputusan MTPN dicabar atau dipertikaikan di luar MT yang memberi gambaran seolah ada Presiden parti yang diberikan kuasa veto,” kata Bersatu.