MARANG (Terengganu): Parti Islam SeMalaysia (PAS) akan menilai semula kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), menyusuli beberapa tindakan parti diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin itu yang dilihat melanggar semangat setiakawan parti komponen Perikatan Nasional (PN).

Bercakap semasa sidang media di Marang, Terengganu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata ketetapan itu dibuat menyusuli beberapa siri tindakan Bersatu yang disifatkan kurang menyenangkan partinya.

Terkini katanya, Bersatu memecat beberapa Exco Kerajaan Kedah serta Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi, daripada kalangan pemimpin Bersatu sendiri.

Beliau menegaskan pertukaran atau pemecatan mana-mana ahli tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya, sebaliknya perlu berasaskan alasan kukuh yang menjejas prestasi sesebuah parti.

“Bersatu juga bertindak menyekat keahlian parti Melayu-Islam ke dalam PN dan tidak setuju keahlian baharu dalam PN. Kita nak banyakkan lagi anggota dalam PN, tetapi tiba-tiba dia (Bersatu) tolak.

“Jadi (ini) tak menyenangkan kita,” kata Ahli Parlimen Marang itu pada 22 Mei, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau turut menegaskan PAS juga tidak boleh menerima alasan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bersatu yang menarik semula akuan bersumpah (SD) berhubung sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Menurutnya, tindakan dua Adun daripada parti itu yang secara terbuka mengambil pendirian berkecuali dalam isu menarik sokongan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan boleh menjejas semangat setiakawan antara parti dalam PN.

“Kita tidak boleh menerima alasan mengenai penarikan semula SD itu.

“Jika Umno yang memiliki 14 kerusi DUN tidak tarik balik, mengapa dua Adun daripada Bersatu bertindak sebaliknya?” katanya.

Tan Sri Abdul Hadi berkata PAS mahu memperbanyakkan lagi penyertaan komponen dalam gabungan PN demi memperkasa agenda Melayu/Islam, tetapi langkah itu tidak dipersetujui Bersatu.

“Kita akan kaji dan meneliti satu per satu tindakan dilakukan Bersatu untuk tindakan selanjutnya.

“Jika tindakan Bersatu boleh menjejas PN pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, kita akan bertindak,” katanya.

Menyentuh dakwaan PAS sudah dua kali dipermainkan oleh Bersatu, termasuk kemelut di Perlis, Tan Sri Abdul Hadi berkata PAS memilih untuk mengambil pendekatan bersabar, tetapi dalam masa yang sama kesabaran itu ada hadnya.

Berita Harian sebelum ini turut melaporkan pandangan pengamat politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan, bahawa kemelut tidak berkesudahan dalam Bersatu termasuk pemecatan beramai-ramai ahlinya terutama kalangan wakil rakyat, boleh menyebabkan PAS menilai semula kedudukannya dalam gabungan pembangkang itu.

Tan Sri Abdul Hadi, dalam masa sama, turut menafikan PAS mahu bergerak solo pada siri pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun beliau berkata parti itu tidak menolak kemungkinan tidak lagi bekerjasama dengan Bersatu pada masa depan.

Dalam pada itu Tan Sri Abdul Hadi turut mendedahkan realiti yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini, apabila Bersatu hanya menuntut jumlah calon, tetapi tidak mempunyai jentera mencukupi untuk bekerja.

“Mereka ada calon, tetapi petugasnya terlampau sedikit berbanding jumlah keahlian yang didakwa beribu-ribu orang, akhirnya kita mengerahkan jentera PAS turun bekerja di lapangan.

“Kita mengambil kira semua aspek ini,” katanya sambil mengesahkan PAS sudah menghantar surat kepada Bersatu pada 9 Mei lalu, selain mengadakan perbincangan secara bersemuka pada mesyuarat PN.

Tan Sri Abdul Hadi berkata walaupun PAS belum menetapkan tarikh akhir bagi mendapatkan jawapan daripada Bersatu, tetapi Majlis Syura Ulama dan Lajnah Pilihan Raya serta bahagian penyelidikan parti sudah diminta memperincikan isu itu.

Ketika diminta mengulas sama ada kemelut terbaharu ini akan menjejas prestasi PN pada PRU akan datang, Tan Sri Abdul Hadi yakin kekuatan PAS tidak akan terjejas sama sekali dan parti itu sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.

“Kita rasa tidak menjejas PN dan kita akan bertanding atas nama gabungan.

“PAS adalah penggerak utama PN dan pimpinan ada hak untuk menentukan hala tuju dalam pilihan raya,” tambahnya.