KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, menyuarakan kekecewaan berhubung bibit-bibit perpecahan yang kian ketara antara partinya dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Mengulas kenyataan Ketua Penerangan PAS, Encik Ahmad Fadhli Shaari, mantan Menteri Besar Perak itu tegas menyatakan bahawa Bersatu tidak mampu menghalang hasrat PAS untuk bergerak secara solo.

“Jika itu kehendak PAS (bergerak solo), kami tak boleh nak buat apa. Saya nasihatkan, buatlah jika itu pada pandangan PAS boleh memperkukuhkan perpaduan Melayu.

“Pandangan saya, PN telah diterima ramai. Malang sekali kalau (PN) berpecah,” katanya, lapor Malaysiakini.

Ketegangan yang melingkari hubungan PAS dan Bersatu sebelum ini telah lama terserlah melalui pelbagai isyarat, sama ada secara kiasan mahupun langsung, yang diutuskan kedua-dua pihak.

Isu ini antara lain turut dikaitkan dengan penyingkiran seorang pemimpin PAS daripada jawatan Menteri Besar Perlis.

Pada 22 Mei lalu pertembungan terbuka kedua-dua pihak didedahkan kepada umum apabila Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menyerang Bersatu dengan pelbagai dakwaan, termasuk melibatkan aspek pilihan raya.

Menurut Tan Sri Abdul Hadi, apabila tiba waktu pilihan raya, Bersatu menampilkan lebih ramai calon berbanding petugas dan ia tidak boleh lagi diulang pada masa depan.

Pada 31 Mei lalu, Encik Ahmad Fadhli mengucapkan “selamat maju jaya” kepada Bersatu ekoran tularnya satu klip rakaman pendek menunjukkan salah seorang pemimpin parti itu mengecam pemimpin PAS sebagai “pekak”.

Menurut Encik Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas (Kelantan), kenyataan tersebut menunjukkan tiada lagi harapan untuk PAS dan Bersatu bekerjasama dengan baik dan harmoni lagi.

Selain itu tambahnya pelbagai tindakan yang diambil Bersatu kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan kepada PAS, termasuk kemungkinan parti itu mengambil keputusan sepihak selepas PRU akan datang.

Terdahulu, Tan Sri Abdul Hadi turut memaklumkan bahawa hubungan antara partinya dengan Bersatu akan dinilai semula dan perkara itu akan diteliti oleh Majlis Syura Ulama PAS.

Sementara itu Malaysiakini difahamkan, mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS dijadualkan berlangsung pada 2 Jun dan dijangka membuat ketetapan baru menentukan hala tuju parti itu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.