Walaupun diserang dengan pelbagai tuduhan oleh pimpinan Parti Islam SeMalaysia (PAS) termasuk langkah parti itu untuk menilai semula pakatan yang dibentuk sejak 2020, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertekad mahu terus memelihara hubungan baik dengan PAS dalam Perikatan Nasional (PN).

Tekad itu dinyatakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam maklum balasnya terhadap PAS selepas menerima surat daripada Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, pada 6 Jun, tentang hubungan PAS dan Bersatu.

Menurut beliau, Bersatu akan memberikan perhatian sewajarnya terhadap cadangan PAS untuk memperkukuhkan PN.

“Saya telah menerima surat daripada Setiausaha Agung PAS bertarikh 6 Jun mengenai hubungan Bersatu dan PAS serta cadangan-cadangan untuk memperkukuhkan PN.

“Saya akan memberikan perhatian sewajarnya terhadap cadangan tersebut dan membawa perkara ini ke mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu untuk diteliti.

“Bersatu mengulangi tekad dan iltizam kami untuk terus memelihara hubungan baik dengan PAS dalam PN,” kata Tan Sri Muhyiddin, dalam satu kenyataan pada 7 Jun.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, sebelum ini, dilaporkan berkata partinya akan menilai semula kerjasama dengan Bersatu dalam PN, menyusuli beberapa tindakan parti Bersatu yang dilihat melanggar semangat setiakawan parti komponen PN.

Tan Sri Abdul Hadi mendakwa keengganan Bersatu memperkukuh PN apabila menolak penyertaan parti Melayu/Islam lain, termasuk gerakan yang diketuai mantan Timbalan Presiden Bersatu yang dipecat, Datuk Seri Hamzah Zainudin, antara salah satu punca.

Ia berikutan laporan diterima daripada PAS negeri, mendedahkan akar umbi Bersatu dilihat cenderung menyokong gerakan Reset yang diketuai Datuk Hamzah.

Malah, Tan Sri Abdul Hadi turut menyenaraikan beberapa sebab lain, antaranya, termasuk apa yang didakwanya sebagai pengkhianatan Bersatu dalam kemelut politik di Perlis, sehingga menyaksikan pertukaran Menteri Besar daripada PAS kepada Bersatu.

Tan Sri Abdul Hadi turut membangkitkan kelemahan jentera pilihan raya Bersatu, yang didakwanya hanya banyak menawarkan calon tanpa jentera.

Kenyataan Tan Sri Abdul Hadi itu menambahkan ketegangan PAS dan Bersatu dalam PN, apabila Biro Politik Bersatu menafikan segala dakwaan itu, termasuk dakwaan parti itu menolak penyatuan ummah dengan tidak menyokong permohonan parti lain untuk menjadi parti anggota PN.

Biro itu berkata ini berikutan keputusan menolak penyertaan parti lain ke dalam PN itu dicapai secara bersama dan dipersetujui oleh semua ahli mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN demi kepentingan strategik dan kestabilan PN secara keseluruhannya.

Ketika ini, PAS di beberapa peringkat, dilihat menyokong usaha memutuskan kerjasama dengan Bersatu.

Malah, Berita Harian Malaysia turut melaporkan sumber dalaman Bersatu mendakwa semakin ramai pemimpin dan ahli Bersatu berharap PAS segera membuat keputusan untuk keluar daripada PN dan bergerak secara solo atau menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) 2.0 bersama Umno.