Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bilangan pelawat China, India ke M’sia naik selepas laksana liberalisasi visa

Jun 26, 2024 | 4:00 PM
Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail - Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA

Pelaksanaan Pelan Liberalisasi Visa (PLV) oleh kerajaan Malaysia telah menyaksikan sektor pelancongan negara itu semakin rancak dengan peningkatan jumlah pelancong seramai 40 juta orang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 30 juta memasuki Malaysia menerusi pintu masuk di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau berkata jumlah pelancong itu direkodkan Jabatan Imigresen Malaysia sejak 1 Januari 2023 hingga 23 April lalu dan peningkatan ketara selepas kerajaan meluaskan pelaksanaan PLV untuk pelancong dari China dan India bermula 1 Disember 2023.

“Selepas kita beri kelonggaran untuk pelancong dari China dan India masuk ke Malaysia dengan pengecualian visa, seramai 950,000 pelancong China melawat negara ini bermula 1 Januari hingga 15 Jun lalu, sementara 443,000 adalah pelancong dari India,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Encik Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang), mengenai sambutan kemasukan pelancong asing ke Malaysia dengan pelaksanaan PLV di Dewan Rakyat pada 26 Jun.

Beliau berkata sebelum pelaksanaan PLV, pelancong Singapura kekal paling tinggi dalam kalangan negara Asia Tenggara yang mengunjungi Malaysia, diikuti Thailand, sementara China di tangga pertama diikuti India bagi negara luar Asean.

PLV ialah pengecualian visa selama 30 hari kepada pelancong ke Malaysia. Ketika ini negara Teluk seperti Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Iraq dan Iran serta semua negara Asia Barat termasuk Turkey dan Jordan menikmati kemudahan pengecualian visa, selain lapan negara Asean lain.

Datuk Saifuddin berkata Jabatan Imigresen sentiasa agresif melaksanakan pemeriksaan ketat di pintu masuk negara selain operasi di kawasan hotspot yang diduduki warga asing.

Setakat ini, Jabatan Imigresen telah menjalankan 7,900 operasi di 224 lokasi hotspot yang membawa kepada 76,477 pemeriksaan warga asing.

“Daripada jumlah itu 20,207 warga asing tiada dokumen sah dan telah dihantar pulang ke negara asal antara Januari hingga Jun lalu,” dedahnya.

Menurutnya, menerusi Program Repatriasi Migran, iaitu pendatang asing tanpa izin (Pati) pulang ke negara asal secara sukarela, kerajaan Malaysia juga telah menghantar pulang 68,900 warga asing daripada 79,231 yang menyerah diri setakat ini.

“Warga asing dari Indonesia, Bangladesh, India dan Pakistan paling ramai menyerah diri dalam Program Repatriasi Migran dan mereka juga dikenakan kompaun sebelum dihantar pulang. Untuk itu kerajaan berjaya mengutip kompaun berjumlah lebih RM40,000 ($11,501).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg