KUALA LUMPUR: Masalah perut boroi atau buncit mungkin tidak akan lagi kelihatan dalam kalangan pegawai dan anggota pasukan keselamatan serta penyelamat di Malaysia, selepas indeks jisim badan (BMI) kurang daripada 28 dijadikan antara syarat untuk menikmati kenaikan pangkat.
Pada 16 Januari lalu, Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain, telah mengumumkan syarat BMI itu sebagai antara kriteria yang ditambah dalam proses kenaikan pangkat pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga dijangka menetapkan syarat sama.
Syarat berkenaan bagi memastikan keadaan kesihatan pegawai dan anggota pasukan terbabit berada pada tahap optimum, sekali gus meningkatkan keupayaan mereka memberi perkhidmatan kepada masyarakat dan negara.
Menurut Tan Sri Razarudin sebelum ini, penambahan syarat yang lebih ketat itu adalah bagi memperkasa proses kenaikan pangkat agar lebih telus, adil dan memberi peluang sama rata kepada setiap pegawai dan anggota yang layak.
Malah, syarat baru ditetapkan PDRM untuk kelayakan kenaikan pangkat itu turut disambut baik Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang melihat ia akan memberi persaingan positif kepada anggota dan pegawai polis untuk kekal sihat bagi melancarkan tugas.
“BMI menjadi antara syarat itu kerana sebagai pasukan penguasa undang-undang terbesar, kecergasan dan disiplin adalah menjadi keutamaan polis di samping kepakaran profesional lain,” kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, dalam maklum balasnya terhadap usaha PDRM itu.
Pada 20 Januari, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Encik Nga Kor Ming, berkata pihaknya yang memang sudah mengamalkan dasar BMI kurang daripada 30 untuk kenaikan pangkat, akan mengadakan perbincangan lanjut supaya syarat itu diketatkan kepada BMI 28, sebagaimana dilaksanakan PDRM.
Untuk itu, katanya, perkara itu akan dibincangkan secara terperinci bersama Ketua Pengarah JBPM pada 2026.
“Anggota JBPM tidak boleh mempunyai BMI melebihi 30. Sekiranya BMI melebihi 30, memang sudah menjadi dasar Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk (Bomba) tidak dibenarkan naik pangkat.
“Sebab itu saya nasihatkan anggota JBPM perlu pastikan badan sihat minda cergas. Pastikan setiap hari berlari 5 kilometer. Syarat (BMI kurang daripada 30) ini dikenakan untuk semua peringkat pangkat.
“Ada lagi ruang boleh diperbaiki, setakat ini terkawal,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Kesiapsiagaan Musim Perayaan Sempena Tahun Baru Cina 2025 (Ops Siaga Raya) pada 20 Januari di Kuala Lumpur, lapor Berita Harian Malaysia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg