KUALA LUMPUR: Sindiket pengemis disyaki mengeksploitasi kanak-kanak di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur, dan Klang, Selangor, dipercayai mampu mengutip sehingga RM3,000 ($912) sehari.
Kegiatan itu dikesan menerusi Op Pintas Khas yang dilaksanakan Bahagian D3 (Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran-ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, di dua lokasi berkenaan pada 14 Januari.
Ketua Penolong Pengarah, D3 Bukit Aman, Penolong Pesuruhjaya Kanan Soffian Santong, berkata lapan suspek disyaki ahli sindiket yang terdiri daripada warga Yaman ditahan dalam operasi bermula 10 malam itu.
“Dalam serbuan sama, turut berjaya menyelamatkan tujuh mangsa pemerdagangan manusia eksploitasi buruh paksa (kanak-kanak di bawah umur).
“Suspek disyaki kumpulan penjenayah yang mengeksploitasi kanak-kanak bagi tujuan mengemis dipercayai aktif sejak September 2024 hingga kini,” katanya dalam kenyataan pada 16 Januari, lapor Berita Harian Malaysia.
Siasatan awal mendapati kumpulan berkenaan akan mula mengemis secara berkumpulan bermula 6 petang hingga 3 pagi.
Encik Soffian berkata sindiket berkenaan dianggarkan mampu mengaut keuntungan kira-kira RM2,500 hingga RM3,000 setiap hari.
Tujuh kanak-kanak lelaki diselamatkan berusia lingkungan satu bulan hingga 16 tahun manakala seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang mana kesemua mangsa merupakan warga Yaman.
“Kesemua mangsa diselamatkan mengikut Seksyen 44(1) Akta ATIPSOM 2007 (Akta 670) manakala tindakan ke atas lapan suspek mengikut Seksyen 14 Akta ATIPSOM 2007.
“Kesemua suspek merupakan warga Yaman iaitu enam lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 21 hingga 30 tahun,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan seramai 137 warga asing termasuk kanak-kanak diselamatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada menjadi mangsa pemerdagangan menerusi Op Pintas Mega dari Januari 2024 sehingga Ogos 2024.
Menerusi operasi yang dilakukan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, seramai 398 individu turut ditahan.
Polis menyatakan warga Myanmar paling ramai diselamatkan iaitu 35 individu, diikuti Thailand (25) dan Indonesia (23).
Selebihnya membabitkan Bangladesh (17), Filipina (9) Kemboja, Vietnam dan China masing-masing lima orang, etnik Rohingya (3), dua Nepal, dan baki lapan adalah warga Malaysia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg