SEREMBAN: Sebuah BMW 7 Series yang dipandu seorang pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) menjadi antara 145 kenderaan mewah yang disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan.

Kenderaan tersebut disita kerana cukai jalan tamat tempoh dalam Ops Luxury yang dijalankan sejak awal tahun ini.

Malah, kenderaan berkenaan sempat dihias untuk kegunaan majlis perkahwinan sebelum ditahan dalam operasi minggu lalu.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Encik Jasyindar Singh Sidhu, mendedahkan bahawa 870 kenderaan telah diperiksa, menyaksikan pelbagai model mewah seperti Mercedes-Benz, Toyota Alphard, Lexus, dan BMW Limousine turut disita.

“Sepanjang operasi berkenaan, sebanyak tujuh kenderaan mewah disita membabitkan bukan warganegara, terutamanya dari China, Pakistan dan Bangladesh serta seorang pemegang kad UNHCR.

“Operasi ini memberi tumpuan khusus terhadap pematuhan Lesen Kenderaan Motor (LKM), perlindungan insurans dan lesen memandu yang tidak sah atau tamat tempoh.

“Selain itu kami beri fokus terhadap pengubahsuaian kenderaan tanpa kelulusan JPJ serta pelanggaran lain di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan pada 18 Jun, lapor Harian Metro.

Encik Jasyindar menegaskan bahawa setiap kesalahan akan dikenakan tindakan tanpa kompromi, merangkumi sitaan kenderaan dan pendakwaan mahkamah.

“Nilai atau status mewah sesebuah kenderaan tidak memberikan sebarang kekebalan daripada tindakan undang-undang,” tegas beliau.

“Pihak kami akan meningkatkan kekerapan rondaan dan sekatan jalan raya bagi memastikan pematuhan undang-undang sentiasa berada pada tahap tertinggi,” katanya.